Malaysia Dateline

‘Belanjawan darurat tiada istimewa untuk rakyat’

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion sebagai ‘belanjawan darurat’ yang tiada apa istimewa kepada rakyat.

Naib Presiden AMANAH berkenaan berkata, belanjawan dibentang Menteri Kewangan, 6 November lalu itu ketika survival politik Perdana Menteri berada dalam keadaan ‘darurat’.

“Hakikatnya politik beliau (Muhyiddin Yassin) berada dalam keadaan darurat apabila memohon untuk mendapatkan perlindungan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di negara kita.

“Namun, Alhamdulillah. Kebijaksanaan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu telah menolak cadangan yang dibawa oleh Perdana Menteri dan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat.

“Maka datanglah Belanjawan ini yang dibuat dalam keadaan yang sangat darurat. Dalam keadaan tergesa-gesa akhirnya hilang fokus dan salah tumpuan yang menyebabkan belanjawan ini tidak meletakkan keutamaan kepada rakyat,” tegasnya.

Mahfuz berkata demikian menerusi saluran Jom Channel yang dimoderatorkan Noor Zawawi Yusof malam tadi.

Belanjawan 2021 yang mencadangkan peruntukan perbelanjaan kerajaan sangat besar berjumlah RM322.54 bilion adalah belanjawan kali pertama kerajaan ‘tebuk atap’ yang diterajui Muhyiddin ketika negara dilanda impak Covid-19.

Mengulas lanjut, Mahfuz berpendapat belanjawan dari Kabinet Muhyiddin itu tidak membuatkan rakyat lega dalam menangani masalah ekonomi akibat pandemik.

“Tiada yang luar biasa dan istimewa dalam belanjawan ini untuk rakyat berasa lega. (Hanya) mengulangi apa yang disebut sebelum ini,” tegasnya.

Bahkan, beliau menganggap Perikatan Nasional (PN) pada awalnya berharap tiada pembentangan belanjawan di Parlimen.

“Itu harapan mereka. Mereka berharap pada perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

“Ini kerana Muhyiddin menyedari tidak mempunyai cukup bilangan yang meyakinkan untuk beliau kekal di tampuk kekuasaan.

“Itulah sebabnya beliau mengharapkan dapat berlindung di sebalik pandemik Covid-19 lalu mengharapkan Agong memperkenankan atas permintaan beliau dan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat,” tambahnya lagi.