Malaysia Dateline

Belanjawan Kedah 2020: Utamakan pembangunan, kesedaran politik belia

Belanjawan Kedah 2020 perlu mempertimbangkan peruntukan yang sewajarnya bagi usaha memupuk kefahaman dan kesedaran ‘bernegara’ dalam kalangan golongan remaja.

Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Ridzwan Abu Bakar berkata, lebih 120,000 remaja di negeri itu yang akan menjadi pengundi kali pertama bagi Pilihanraya Umum ke-15 nanti susulan keputusan kerajaan menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

Menurutnya, pendaftaran secara automatik itu sudah tentu menuntut pihak kerajaan untuk mempergiatkan usaha bagi meniup kefahaman dan kesedaran sebagai warganegara.

“Meluluskan undang-undang tanpa pendidikan dan kesedaran yang utuh tentang keperluan melibatkan diri dalam sistem demokrasi berparlimen dan kepentingan memilih kerajaan yang demokratik dan berintegriti ‘seolah-olah’ usaha yang sia-sia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, ujarnya, kerajaan negeri perlu menggerakkan pelbagai agensi dan parti-parti politik untuk meniupkan kesedaran tersebut dengan meletakkan kepentingan masa depan negeri dan negara sebagai keutamaannya.

“Isu-isu ‘perkauman’ dan ‘keagamaan’ yang melampau hendaklah dielak dan ditangani dengan sewajarnya dalam usaha meniup kesedaran ini.

“Semoga cadangan ini diberikan perhatian oleh kerajaan Kedah yang prihatin dan responsif terhadap suara akar umbi,” tambah Ridzwan lagi.