Malaysia Dateline

Belanjawan lewat hampir setengah jam, Speaker akur bagi semua MP masuk Dewan

Pembentangan Belanjawan lewat 20 minit apabila ahli-ahli Parlimen membangkitkan isu had jumlah ahli Dewan Rakyat yang dibenarkan berada di dalam Dewan bagi mengikuti Belanjawan 2021.

Ketegangan berlaku selepas kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membenarkan ahli-ahli lain memasuki Dewan

Perkara tersebut dimulakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta agar Datuk Azhar Azizan Harun mempertimbangkan cadangan tersebut kerana ahli-ahli Parlimen sudah hadir menunggu di luar Dewan.

“Semalam sidang dengan waktu panjang. Dengan waktu hanya sejam atau dua jam hari ini, saya tak rasa ianya menjejaskan kesihatan.

“Saya mohon pertimbangan kelulusan Yang Dipertua menangguhkan lima minit untuk mereka masuk Dewan,” katanya.

Ia turut disokong Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (Umno-Kinabatangan) yang mencelah dan berkata, belanjawan adalah terpenting dan sekatan yang dilakukan ketika ini seolah-olah negara sedang dilanda musibah besar.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) pula memohon agar ahli-ahli Parlimen dibenarkan masuk segera untuk satu hari ini sahaja bagi memberi peluang mendengar perbahasan Belanjawan 2021.

Akhirnya Azhar mengalah dengan menangguhkan Dewan selama lima minit dan membenarkan ahli-ahli Parlimen yang lain memasuki Dewan.

Bagaimanapun beliau berkata, had 80 ahli Parlimen akan terpakai mulai Isnin nanti.