Belanjawan Melaka perkukuh peranan, tanggungjawab belia

Belanjawan Melaka perkukuh peranan, tanggungjawab belia

Belanjawan Negeri Melaka 2020 yang dibentangkan semalam adalah  seiring dengan usaha memperkukuh peranan dan tanggungjawab belia di negeri ini, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau, yang membentangkan belanjawan itu semalam, berkata ini kerana golongan belia berperanan penting dalam memajukan sesebuah negeri dan mereka adalah bakal pemimpin negara pada masa hadapan.

“Memang kita ada beberapa penumpuan kepada belia dari segi kegiatan sukan dan persatuan … sebenarnya segmen belia ini pelbagai termasuk program keusahawanan, pertanian, kerjaya dan wanita kerana sebahagian daripada belia juga terdiri daripada golongan wanita.

“Peruntukan RM1.3 juta kita sediakan bagi program pembangunan belia dan sukan khusus untuk golongan ini dan secara keseluruhan kita harap akan ada banyak lagi fokus kepada mereka,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Semalam, beliau mengumumkan RM500,000 diperuntukkan bagi program pembangunan belia dan RM800,000 bagi perbelanjaan pembangunan sukan bermula tahun hadapan selain memperuntukkan RM2 juta bagi menyokong persediaan Sukan Malaysia (Sukma) 2020.

Terdahulu dalam sesi perbahasan pembentangan Belanjawan Negeri Melaka 2020 pada persidangan itu, isu belia paling banyak diketengahkan oleh Ahli DUN khasnya dalam memberi peluang kepada belia untuk menjalankan aktiviti besar belia di negeri ini.

Damian Yeo Shen Li (DAP-Duyong) berkata, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengangkat suara anak muda dan mengikut langkah yang diambil negara maju termasuk Jerman, Amerika Syarikat dan Australia.

Namun, belanjawan itu masih boleh dipertingkatkan pada kadar sewajarnya berikutan jumlah pengundi muda akan meningkat pada masa akan datang dan sokongan mereka amat perlu untuk kesinambungan pemerintahan PH.

Datuk Hasan Abd Rahman (BN-Sungai Rambai), mencadangkan lebih banyak peruntukkan diberikan kepada persatuan belia bagi menjalankan aktiviti besar di negeri ini, manakala Datuk Amirudin Yusof (BN-Ayer Limau) meminta kerajaan negeri membuka lebih luas peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran belia.