Malaysia Dateline

Belanjawan Negeri Sarawak 2022 sekadar raih sokongan politik

Parti Sarawak Bersatu (PSB) mendakwa mesyuarat Belanjawan Negeri Sarawak 2022 adalah sekadar mahu meraih sokongan politik semata- mata.

Justeru presidennya Dato Seri Wong Soon Koh memberitahu bahawa beliau serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PSB tidak akan menghadiri satu mesyuarat khas berkaitan Belanjawan Negeri 2022 pada Selasa depan.

Tegas Wong, mesyuarat berkenaan hanyalah percubaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengaitkan beberapa berita belanjawan yang baik kepada orang ramai dengan harapan agar mereka dapat meraih sokongan politik.

“Pada Selasa depan, satu mesyuarat khas berkaitan Belanjawan Negeri 2022 akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar akan mempengerusikan mesyuarat tersebut bersama.

” Maka, dengan ini saya memaklumkan bahawa semua ADUN PSB tidak akan menghadiri mesyuarat khas berkenaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Jelas beliau, dalam sistem Parlimen belanjawan yang merupakan pernyataan rasmi tahunan kerajaan negeri, memerlukan persetujuan Badan Perundangan.

“Perintah Tetap 63 menyatakan draf anggaran perbelanjaan dan pendapatan negara untuk tahun berikutnya akan dibentangkan di atas jadual sebelum pengenalan dilakukan di Dewan Rang Undang-Undang Perbekalan tahunan.

“Oleh itu, sebelum Belanjawan dapat diluluskan, ia mesti mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Belanjawan negeri adalah dokumen rasmi yang serius dan tidak boleh diperlakukan secara sambil lewa dengan mengadakan Mesyuarat Khas di sebuah pusat konvensyen di sini,” soal Wong lagi.

Malah, beliau juga mempersoalkan mengenai semua ADUN yang dijemput hadir untuk mesyuarat tersebut.

“Oleh kerana ia hanyalah satu sesi taklimat, Belanjawan 2022 berkenaan tidak boleh dianggap nyata atau rasmi.

“Walaupun di bawah Perintah Darurat menyatakan Ketua Menteri mungkin berkuasa mutlak dalam mengendalikan Belanjawan Tahunan, kerajaan negeri dan pejabat Speaker mungkin boleh mengatur satu atau dua hari untuk membolehkan Belanjawan 2022 dibentangkan secara rasmi di DUN untuk meminta kelulusan,”ujarnya.