Malaysia Dateline

Belanjawan Perpaduan 2021: PH syor tambah dana Kementerian Kesihatan

Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Belanjawan Perpaduan 2021 penting untuk menjunjung Titah DiRaja yang menolak pengisytiharan darurat dan mengelak pilihan raya dalam tempoh terdekat yang hanya akan mengeruhkan lagi gelombang ketiga Covid-19.

PH juga mengingatkan pentingnya bagi kerajaan dan pembangkang bersama untuk menghasilkan Belanjawan Perpaduan yang khusus untuk membantu rakyat mengatasi dan bertahan dalam kegawatan Covid-19.

Dalam kenyataan bersama tiga parti komponen itu, cadangan agar dana Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD) ditambah menduduki tangga pertama daripada enam syor PH.

Ketiga-tiga parti menegaskan peningkatan peruntukan tersebut penting bagi pemerolehan dan penggunaan vaksin yang berpotensi kepada kelompok masyarakat
paling berisiko serta bayaran yang adil kepada barisan hadapan dan menyerap pegawai kontrak sedia ada kepada jawatan tetap.

Menerusi tambahan peruntukan KKM itu, PH berharap dapat disalurkan bagi tujuan meningkatkan bilangan pekerja kesihatan sementara termasuk jururawat, kakitangan pembersihan dan pengesan kontak rapat serta peruntukan khas untuk menangani krisis Covid-19 di Sabah.

Turut disenaraikan lima lagi cadangan termasuk pelanjutan moratorium sehingga 31 Mac 2021; penerusan subsidi upah sehingga 31 Mac 2021 serta peningkatan perbelanjaan pendidikan.

Selain itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga diminta untuk mempertimbangkan syor memperkasa perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000 seperti dijanjikan Perdana Menteri sehingga akhir krisis Covid-19.

PH juga menyarankan kerajaan memberi perhatian terhadap perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama, iaitu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.

Sehubungan itu, PH berharap keenam-enam syor tersebut dapat diterima dan dimasukkan oleh Menteri Kewangan ke dalam Belanjawan Perpaduan 2021.

Mereka juga menegaskan komited untuk bekerja dengan semua pihak bagi memerangi Covid-19, dengan hasrat menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara.

“Pun begitu, proses rundingan ini tidak bermakna sokongan atau penerimaan PH dalam soal keabsahan kerajaan ini,” kata mereka lagi.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Terdahulu, mereka dan beberapa pemimpin PH lain bermesyuarat dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Putrajaya.