Malaysia Dateline

Belanjawan Perpaduan 2021 tidak akan berlaku jika enam syor PH ditolak

Belanjawan Perpaduan 2021 tidak akan berlaku jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) menolak enam langkah fiskal dan kewangan utama yang dikemukakan Pakatan Harapan (PH) bagi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan ekonomi rakyat negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia penting bagi semua pihak bersama-sama merangka Belanjawan Perpaduan yang berkesan untuk membantu rakyat mengatasi kemelesetan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

“Belanjawan Perpaduan 2021 tidak akan berlaku jika kerajaan PN menolak enam langkah fiskal dan kewangan utama daripada PH demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia.

“DAP ingin mengulangi bahawa Belanjawan Perpaduan ini sangat penting dalam menjunjung Titah Diraja yang menolak perisytiharan darurat untuk negara, mengelakkan permintaan seterusnya untuk darurat dan juga mengelakkan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat, yang hanya akan menambah teruk jangkitan Covid-19,” katanya.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan Belanjawan Perpaduan tidak sama dengan apa yang disebut kerajaan perpaduan seperti yang dispekulasi.

Berikut ringkasan kepada enam langkah fiskal dan kewangan utama yang dikemukakan dalam Belanjawan Perpaduan:

1. Meningkatkan sumber Kementerian Kesihatan untuk Wabak Covid-19 dan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dengan peruntukan khas untuk menangani krisis Covid-19 di Sabah;

2. Memperluas perlindungan sosial, jaring keselamatan dan pembayaran kebajikan bagi golongan berisiko dan menganggur dengan meningkatkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 sehingga krisis Covid-19 berakhir seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri di Sandakan pada 30 Ogos yang akan menelan belanja RM12 bilion ;

3. Pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank sehingga 31 Mac 2021 yang akan menelan belanja RM6.4 bilion;

4. Meneruskan subsidi upah sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti dalam program MalaysiaKerja dengan menawarkan insentif selama 2 tahun untuk majikan dan pekerja yang akan menelan belanja RM13 bilion;

5. Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kesinambungan pendidikan; dan

6. Perbelanjaan pembangunan untuk dua (2) projek utama, iaitu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.