Malaysia Dateline

Belanjawan Selangor 2022 peruntuk RM2.34 bilion

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.343 bilion bagi perbelanjaan tahun 2022.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.220 bilion (52 peratus) diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus manakala RM1.123 bilion (48 peratus) akan digunakan untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Bertemakan Kita Selangor: Negeri Tahan Uji, Mengangkat Martabat Insani, Amirudin berkata, bagi tahun 2022, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.050 bilion.

Jelas beliau, antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2022 adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM906.33 juta bersamaan 44.21 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

“Penyumbang kedua terbesar adalah hasil Cukai Tanah iaitu sebanyak RM549.30 juta bersamaan 26.79 peratus.

“Manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM189.81 juta bersamaan 9.26 peratus,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Dalam pada itu Amirudin berkata, dengan mengambil kira jangkaan Hasil Negeri yang berjumlah RM2.1 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.323 bilion, maka Belanjawan 2022 akan mengalami defisit berjumlah RM222 juta.

“Defisit ini adalah lebih tinggi berbanding tahun 2021 bagi penyediaan peruntukan pembangunan yang substantif
bagi mengukuhkan pemacuan ekonomi pasca pandemik Covid-19 sekaligus membina negeri tahan uji dalam pelbagai aspek,” katanya lagi.