Belanjawan sepatutnya fokus teroka ekonomi baru era post-Covid19

Oleh NASUHA RAHMAN

Belanjawan 2022 sepatutnya menjadi satu ‘jump-start’ kepada ekonomi negara di mana perlu ada rangsangan ekonomi yang berfokus dari kerajaan untuk hidupkan semula sektor ekonomi yang telah malap dan meneroka kepada ekonomi baru, demikian menurut Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman.

Malangnya kata beliau, belanjawan ini tidak ada rancangan untuk tarik pelabur asing kembali datang ke Malaysia.

“Tidak ada usaha untuk menyediakan ekosistem yang sesuai kepada orang untuk berniaga dengan selamat dalam era post-COVID19.

“Negara ini sudah perlu mula jelajah ekonomi baru. Ekonomi block chain, ekonomi IR4.0, menyediakan akses internet yang pantas dan murah, menghidupkan inovasi dalam negara.

“Ini semua penting sebab Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pun baru dibentangkan dan ia menyediakan rancangan lima tahun akan datang,” katanya.

Tambahnya, Belanjawan 2022 perlu buat hal yang serupa malangnya, ia tidak digambarkan dengan baik petang tadi.

Sebab itu katanya, belanjawan kali ini dilihat “business as usual” dan bukannya belanjawan untuk sebuah negara yang mahu lari pecut dalam era post-COVID19.

Dalam pada itu, katanya pelaksanaan belanjawan juga perlu cemerlang contohnya, belanjawan tahun lepas mahu mengagihkan 150,000 laptop kepada pelajar akhirnya minggu lepas baru habis diagihkan.

“Pelajar sudah balik masuk sekolah, kelas sudah mula, laptop baru sampai rumah.

“Ini yang kita tak mahu berulang lagi. Janji mahu bantu itu ini, tapi perancangannya lemah, penyampaiannya gagal.

“Sebab itu, laporan Ketua Audit Negara menunjukkan negara rugi lebih RM620 juta kerana kerajaan tidak patuh pengurusan kewangan yang baik,” ujarnya.