Belanjawan yang cukup baik meliputi semua bidang, lapisan masyarakat

Belanjawan yang cukup baik meliputi semua bidang, lapisan masyarakat

Kementerian Dalam Negeri berpendapat Belanjawan 2020 cukup baik kerana meliputi semua bidang dan menepati tema pembentangan kali ini

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,pembentangan belanjawan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah memberi ruang yang luas kepada semua kumpulan dalam masyarakat.

“Pada keseluruhannya saya fikir bajet ini, bajet yang cukup baik, yang meliputi semua bidang, sebagaimana yang dimaksudkan dibawah Kemakmuran Bersama, dan memberi ruang yang agak luas kepada semua kumpulan dalam masyarakat kita, samada yang di bandar, di luar bandar, yang miskin, orang muda, dan sebagainya.

“Ini bukti yang jelas bahawa pihak kerajaan Pakatan Harapan prihatin tentang semua golongan dalam masyarakat kita, dan kita harap dengan bajet yang akan dilaksanakan tahun depan akan memberikan banyak faedah pada semua peringkat masyarakat di negara kita,” ujarnya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam belanjawan kali ini  yang bertemakan : “Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama” kementeriannya memperoleh penambahan peruntukkan RM16.9bilion berbanding RM15.5 bilion pada 2019. Manakala Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Januari 2020 dengan jumlah peruntukan tambahan sebanyak RM26 juta.RM250 juta untuk kuarters PDRM juga akan diperuntukkan bagi tujuan membaiki dan menyelenggarayang sama.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh ini lagi, dengan peruntukan yang diberikan kepada anggota polis bagi tujuan membaik pulih dan penyelenggaraan adalah amat dinantikan.

“Memang kita harapkan, kerana sejak sekian lama mereka dah menunggu. Memang pada waktu lepas tidak banyak yang diberikan perhatian, tetapi kita berikan perhatian utama dalam soal kebajikan mereka, supaya dengan itu, mutu perkhidmatan, semangat bekerja itu akan lebih baik lagi. Ini yang kita harapkan untuk tahun ini dan tahun akan datang,” ujarnya.