Belasan tahun berhenti kerja, lelaki ini pilih jadi suri rumah – “Isteri kerja dan sibuk urus 2 perniagaan”

Oleh MALAYSIADATELINE

Para suami yang memilih menjadi suri rumah diistilahkan sebagai ‘househusband’ atau ‘stay-at-home-dads’ di mana mereka mengambil alih tugas isteri menguruskan rumah tangga.

Seperti yang kita tahu, punca pendapatan isteri yang lebih tinggi dan lumayan berbanding suami adalah satu satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan fenomena ini.

Berikut kami kongsikan pengalaman seorang suami yang dikenali sebagai Vince mengenai ‘kerjayanya’ sebagai suri rumah selepas memilih untuk berhenti bekerja kira-kira belasan tahun lalu.

“Ketika saya berhenti kerja, isteri memiliki dua pekerjaan dan dua jenis perniagaan kecil-kecilan. Dia sememangnya seorang wanita yang sangat berkebolehan dan kuat bekerja.

“Malah, dia juga yang menanggung segala keperluan kami. Saya dan isteri membuat keputusan ini bersama-sama (berhenti kerja). Ia mungkin tak menjadikan kami kaya.

“Tetapi, saya mahu anak-anak mengenali diri saya. Saya mahu melihat anak-anak membesar di depan mata setiap hari, bukan sekadar pada hujung minggu,” kongsinya dalam portal The Asian Parent.

Setelah merasai sendiri pengalaman menjadi suri rumah, Vince yang merupakan warga Singapura itu berpendapat bahawa lelaki tidak sepatutnya memandang rendah kepada wanita.

Vince turut mengakui bahawa kepenatan sang suami di tempat kerja mereka langsung tidak boleh dibandingkan dengan kelelahan yang harus dilalui oleh suri rumah setiap hari.

Dalam perkongsian itu, Vince turut berkongsi beberapa rintangan yang perlu dilaluinya setiap hari dalam menguruskan rumah tangga selepas berhenti kerja pada 2012.

  1. Perlu menyediakan sarapan pada awal pagi dalam keadaan mengantuk kerana anak-anak sudah mula bangun pada waktu Subuh.
  2. Anak bongsu yang masih kecil dengan sengaja menumpahkan susunya di atas meja yang sudah bersih.
  3. Membuat kerja-kerja sekolah anak secara ekspress kerana mereka ‘lupa’ memberitahunya pada malam semalam.
  4. Menghadapi karenah dan kenakalan anak kecil selepas anak-anak yang sudah membesar pergi ke sekolah.
  5. Tertekan dan dihantui rasa bersalah kerana sudah memarahi serta menengking anak-anak kecil.
  6. Teruja namun penuh kerisauan apabila anak-anak berlari untuk menyeberang jalan ketika anda menjemput mereka dari sekolah.
  7. Menahan segala ‘tumbukan’ dan ‘gigitan’ daripada anak-anak.
  8. Menyiapkan kerja rumah (mengemas, memasak, dan mencuci) sambil membuat persediaan makan petang dan malam.
  9. Menguruskan belajawan rumah tangga.
  10. Mandikan anak-anak dan membersihkan najis mereka.

Menurut Vince, sikap saling memahami antara suami dan isteri adalah amat penting dalam menghadapi rintangan tersebut kerana kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain.

Namun begitu, para suami yang beragama Islam perlu diingatkan bahawa hukum mereka untuk menjadi suri rumah dari sisi agama adalah tidak digalakkan jika tidak diredai isteri.

Memetik kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sekiranya isteri reda, maka ia dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar pasangannya jika dibenarkan.

Baca juga: Pemuda Malaysia kerja kutip sampah di Singapura raih gaji RM10,000 sebulan