Beli G-Wagon berharga lebih RM1.3 juta, Merqeen dedah dari mana dapat duit beli kereta mewah

Oleh KIM SYAZIE

Mungkin ramai yang tidak tahu, Merqeen merupakan pelakon baru yang agak ‘laris’ ketika ini. Pelakon berusia 22 tahun itu mula menceburkan diri dalam industri seni hanya sekitar 3 tahun lalu iaitu pada 2020.

Rezeki tidak salah alamat. Selepas membintangi filem pertama berjudul Kelaster dan drama sulungnya berjudul Angkara Cinta, aktor itu mula menempa nama dalam industri.

Tidak hairanlah jika Merqeen mampu menabung dalam tempoh yang singkat untuk membeli kereta idamannya!

Meerqeen baru-baru ini mendedahkan kereta keduanya iaitu G-Wagon dibelinya menggunakan duit hasil menabung yang disimpan sejak mula bekerja.

Tidak pasti sekiranya Merqeen mempunyai pekerjaan lain sebelum menjadi pelakon.

Menurut aktor itu, dia mula menyimpan keinginan membeli kenderaan terbabit sejak di bangku sekolah lagi dan bersyukur apabila segala usaha kerasnya mendatangkan hasil yang baik.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya sudah memasang impian membeli kereta dan apa yang diperoleh ini adalah hasil kerja keras. Alhamdulillah saya berjaya capai impian itu.

“Semua ini adalah hasil duit menabung sejak mula bekerja. Apa yang saya usahakan adalah untuk diri dan keluarga,” katanya memetik Harian Metro.

Meerqeen bagaimanapun menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan nilai sebenar kereta yang dibeli mencecah RM1.79 juta.

“Saya beli kereta itu bukan untuk memuaskan hati orang lain. Saya ada impian atau ‘goals’ yang saya tetapkan dalam perjalanan hidup saya.

“Namun nilai harga kereta itu tidaklah mencecah RM1.79 juta seperti yang diperkatakan orang,” katanya.

Baca juga: “Aku tertipu dengan lagak alimnya, lepas dah ‘dapat’, dia tinggalkan aku dengan alasan…”