Beli hartanah pukal harga rumah melonjak

Beli hartanah pukal harga rumah melonjak

Pembelian kediaman secara pukal oleh kelompok kapitalis antara penyebab kepada lonjakan harga rumah, kata Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail.

Menurutnya, harga kediaman melambung disebabkan kerancakan transaksi hartanah selain terdapat sesetengah individu atau kumpulan yang berkemampuan membuat pembelian hartanah secara pukal untuk tujuan tertentu.

“Pembeli hartanah ini sebenarnya tidak mempunyai sekatan sama ada mereka berstatus individu atau syarikat secara berkumpulan untuk membuat pembelian hartanah jika mereka berkemampuan,” katanya dipetik dari wawancara akhbar Kosmo! hari ini.

Walau bagaimanapun, jelasnya, hal tersebut, terkecuali untuk kediaman yang dikawal dari segi kuota dan harga oleh pihak kerajaan seperti rumah kos rendah.

Oleh sebab itu, ujarnya, kerajaan melaksanakan beberapa polisi seperti Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) untuk mengekang aktiviti spekulasi hartanah daripada berlaku secara keterlaluan. .

Ditanya tentang pembelian rumah secara pukal dari segi undang-undang, Ishak berkata, tiada undang-undang yang mengehadkan seseorang untuk memiliki hartanah lebih daripada satu.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memainkan peranan bagi memastikan rakyat memiliki akses untuk memiliki rumah jika mereka mempunyai kemampuan membeli.