Malaysia Dateline

Beli hartanah RM1.32 bilion, bimbang pengurusan Tabung Haji kembali ‘perangai lama’

Langkah Tabung Haji (TH) membeli hartanah bernilai RM1.3 bilion dibimbangi pengurusan agensi itu kembali ke ‘perangai lama’ yang berpotensi menjejaskan 8 juta pendeposit.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menzahirkan rasa bimbang ini apabila tindakan melonggokkan pelaburan RM1.32 bilion kepada hanya satu hartanah turut mengundang risiko kepada keutuhan aset TH.

“Kenyataan saya ini datang atas kebimbangan apakah pengurusan TH kembali ke “perangai lama” tanpa pengurusan risiko aset yang berkesan dan berhemah sehingga potensi menjejaskan 8 juta pendeposit dan menjejaskan fasa kelestarian TH demi kepentingan umat Islam.

Hartanah TH di London

“Adalah lebih baik ditumpukan kepada perubahan struktural regim kos subsidi haji bagi menangani kenaikan kos haji daripada menanganinya dengan pembelian aset yang berisiko tinggi di luar negara,” katanya yang juga Naib Presiden AMANAH.

Pengalaman TH sebelum 2018 yang lemah dalam pengurusan risiko aset serta tatakelola kewangan yang tidak telus telah membawa kepada jurang negatif antara aset dan liabilti sebanyak RM4.1bilion yang dicatitkan dalam laporan audit 2017.

Sejak 2015 pemberian hibah atau dividen melanggar seksyen 22(3)(a) yang mensyaratkan aset tidak boleh kurang daripada tanggungan.

Tegas Mujahid tujuan penstrukturan semula pada tahun 2018 adalah untuk TH mematuhi perundangan yang ditetapkan untuk tujuan pengeluaran Hibah yang menepati undang-undang tubuh TH.

Pihak kami dengan pengurusan yang telus telah berjaya mengimbangi aset dan tanggungan sehingga TH kini kembali ke landasannya yang betul dan mengikut undang-undang.

Sehubungan itu, pihak Menteri perlu telus dalam menyatakan kos sebenar keseluruhan pembelian termasuk yuran brokerage atau komisyen yang dibayar kepada broker yang dilantik.

“Masalah menyembunyikan harga belian sebenar telah menimbulkan berbagai tanggapan negatif rakyat khususnya umat Islam terhadap ketelusan pihak TH dan kepentingan pihak tertentu yang mengaut yuran komision yang tidak masuk akal tinggi.

“Dalam keadaan kejatuhan nilai ringgit akhir-akhir ini pembelian tersebut boleh membawa risiko kepada pulangan nilai jika berlaku transaksi untuk dijual kemudian hari” tambahnya lagi.

Terdahulu menurut The Edge Lembaga Tabung Haji (LTH) telah membeli hartanah di London bernilai £247.5 juta bersamaan RM1.32 bilion. Vendornya Sinarmas menjual semua sahamnya kepada TH pada nilai £247.5juta.

Transaksi tersebut tidak menyatakan harga belian sebenar (acquisition price) dan hanya memaklumkan nilai hartanah yang dikenali sebagai bangunan Great Minster.

Baca juga: Tragedi Baling: Sudahlah usul ditolak, MB Kedah jangan takut dedah pemimpin yang terlibat

Baca juga: 11 anggota polis berusia 35 hingga 51 tahun ditahan positif dadah