Malaysia Dateline

Beli kereta mewah: MB Perak diselar hipokrit

Sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyelar tindakan Menteri Besar Perak yang dianggap sebagai hipokrit dan tidak sensitif dengan kesusahan rakyat selepas dilaporkan menjual dan membeli kenderaan rasmi kerajaan Negeri dengan membelanjakan ratusan ribu ringgit dari kewangan kerajaan negeri.

Dilaporkan, salah seorang daripada bekas Penasihat Undang-Undang Negeri yang bersara telah meminta untuk membeli Toyota Camry tersebut pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran di luar.

Pemuda PH Negeri mempersoalkan adakah kenderaan yang dijual itu merupakan unit yang diperuntukkan kepada pegawai tersebut atau unit yang digunakan oleh Datuk Seri Faizal Azumu.

“Sekiranya ia merupakan unit yang digunakan oleh pegawai tersebut, sebaiknya kenderaan baru untuk menggantikannya perlulah yang sepadan dan dalam julat harga yang setara dengan harga asal kenderaan itu.

“Mengapa Faizal pula yang mendapat kenderaan baharu yang berharga lebih mahal daripada Toyota Camry yang digunakan oleh Exco dan pegawai Eksekutif yang lain?,” soalnya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama antara Ketua-Ketua Pemuda PH Perak iaitu AMANAH, Khairol Najib Hashim; DAPSY, Chaw Kam Foon; dan AMK, Mohamad Hairul Amir Sabri.

Pagi ini, Ahmad Faizal dalam lawatan ketika pembukaan sekolah dilihat menaiki kenderaan mewah jenis sedan Lexus ES yang berharga lingkungan RM300,000 seunit.

Ahmad Faizal bagaimanapun berkata, kereta berkenaan dibeli dengan harga RM200,000.

Untuk rekod, kerajaan negeri pada 20 Jun 2019 dilaporkan membelanjakan kira-kira RM1.74 juta untuk pembelian 16 buah unit Toyota Camry iaitu sekitar RM109,000 bagi setiap unit.

Pembelian tersebut bagi menggantikan penggunaan kereta rasmi lama iaitu Proton Perdana yang sudah diguna sejak 2014.

Sementara itu, pemuda PH menyifatkan Ahmad Faizal sebagai mementingkan diri selain tidak mengambil kira keadaan ekonomi negeri yang terkesan akibat pandemik covid-19.

Keputusan membeli kenderaan baharu yang lebih mahal itu menurut PH, adalah tidak sepadan dengan yang digunakan oleh ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Pegawai Eksekutif lain.

Malah katanya, Ahmad Faizal tidak empati dengan keadaan rakyat yang hilang sumber pendapatan dan pekerjaan seperti mana yang dihadapi ribuan rakyat negeri itu.

“Dengan terjelmanya sikap beliau ini, rakyat akan membuat penilaian semula terhadap prestasi beliau dan menggunakan kuasa dalam Pilihan Raya akan datang untuk mengajar pemimpin yang khianat dan hipokrit seperti beliau,” katanya.