Beli Mercedes mahu nampak gah, Saharul Ridzwan akui terpaksa jual balik lepas terbeban bayar RM2K sebulan 

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon kacak Saharul Ridzwan mengakui terbeban untuk menanggung bayaran bulanan kereta mewahnya, Mercedes Benz E Class yang dibeli pada 2018.

Saharul berkata, dia kini sedang dalam proses untuk menjual kembali keretanya itu yang dimiliki ketika baru memulakan perniagaan enam tahun lalu.

Kata Saharul, dia pada awalnya terpengaruh dengan kata-kata rakannya supaya membeli kereta tersebut yang dianggap sebagai lambang kredibiliti kepada orang berniaga.

Namun katanya, perasaan gah pada awal itu hanya seketika kerana akhirnya dia pula rasa terbeban dengan bayaran bulanan hampir mencecah RM2,000.

“Kereta ini saya buat pinjaman penuh. Jadi, tiap-tiap bulan saya bayar RM1,900 lebih dekat RM2,000. kereta ini saya beli dengan harga RM200,000 pinjaman penuh.

“Tahun 2018 saya baru nak mula berniaga, jadi kawan saya sorang ni dia bagitahu yang Saharul kau kena pakai kereta Mercedes.

“Kereta Merc ini melambangkan kredibiliti kepada orang yang berniaga. Jadi pada waktu tu saya masih lagi berlakon…pada awalnya saya rasa gah tapi pada akhirnya saya rasa benda tu bebanan,” katanya.

Dalam pada itu, Saharul turut memberikan nasihat kepada mereka di luar sana agar mengambil pengajaran dari kisahnya agar berbelanja mengikut kemampuan sendiri.

Terbaru, Saharul berkata kenderaannya itu sudah ada pembelinya selepas dua jam dia memuat naik hantaran untuk melepaskan kereta itu.

Individu itu juga difahamkan sudah meletakkan deposit untuk membeli kenderaan tersebut.

Baca juga: Wanita kirim 400 barang COD, berang bakal suami batal nikah lepas ragut kesucian