Malaysia Dateline

Beli minyak masak paket subsidi 1kg mungkin guna sistem kupon

Sistem kupon kepada golongan B40 dan peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) untuk membeli minyak masak paket bersubsidi satu kilogram (kg) bakal diperkenal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH).

Menteri, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata cadangan tersebut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, jika cadangan itu dipersetujui, baharulah ia dapat dilaksanakan dengan meneliti dan mengemaskini data golongan yang layak menikmati program ini.

Katanya, melalui sesi libat urus dengan pemain industri minyak masak dan wakil-wakil persatuan pengilang minyak masak Malaysia yang diadakan hari ini mereka turut bersetuju mengekalkan 60,000 tan metrik minyak masak sebulan untuk dijual secara paket 1kg.

“Dalam seisi libat urus ini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah membentangkan cadangan harga dua peringkat (2-tiered pricing) membabitkan harga jualan dalam negara dan luar negara termasuk polisi dan mekanisme pelaksanaannya,” dipetik BH.

Pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutamakan isu kos sara hidup, khususnya berkaitan harga barangan yang semakin menekan kehidupan rakyat Malaysia ketika ini.

Walaupun kekuatan ringgit serta Bursa Saham menunjukkan perkembangan positif berikutan pembentukan kerajaan baharu kini, Putrajaya tetap mahu menumpukan kepada aspek penyelesaian kos sara hidup.

Baca juga ‘Lepas ni kereta sebelah pula, satu-satu saya bakar’ – Bermacam hasil suntingan hiburkan orang ramai

Baca juga [VIDEO] Semangat membantu rakan tu dah ada, tapi ada sesuatu yang buat netizen geli hati…