Beli motosikal harga lebih RM5k, warga emas selamba bawa duit dalam guni sahaja, siap kira atas tanah lagi

Oleh MAISARAH AISYA

Membeli motosikal secara tunai bukanlah murah namun ia tidak menghalang seorang warga emas ini daripada membelinya.

Sebuah klip video tular memaparkan seorang warga emas membeli sebuah motosikal jenama Honda CBR.

Malah lelaki tua dilihat mengira seguni wang simpanannya, lapor laman berita Suara.com.

Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @pemalang_update dikatakan berlaku di Daerah Pekalongan, wilayah Jawa Tengah.

Jelas terlihat warga emas tersebut dikerumuni orang ramai semasa mengira wang yang dibiarkan bertaburan aras tanah sebelum memasukkan semula duit ke dalam guni.

Dalam guni tersebut ada wang dengan nilai Rp20,000 hingga Rp100,000 dan jumlah keseluruhan untuk membayar motosikal tersebut adalah Rp18 juta (RM5,373).

Warga emas itu kemudian dilihat menaiki motosikal hitam yang baru dibelinya dengan hanya memakai kain pelikat.

Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen yang menganggap bahawa orang tua itu pandai menyimpan duit.

“Mantap, orang tua pandai menyimpan wang berbanding orang muda.

“Pandai atuk ini menabung, kalau kita dah habis dekat tempat lain.

“Kenapa orang lain tengok sahaja, tolong kirakan sekali,” antara komen netizen.

Bukan senang nak kumpul duit apatah lagi mencecah ribuan ringgit dek kerana harga barang yang terlalu mahal.

Baca juga: Dah puas tabur janji manis, ejen insurans ditahan polis lepas raih untung RM2.8 juta