Beli motosikal Yamaha RXZ di TikTok, remaja baru sedar kena tipu lepas ‘transfer’ RM2k

Oleh KIM SYAZIE

Seorang remaja terpaksa berputih mata selepas terpedaya dengan sebuah iklan di TikTok yang menjual motosikal Yamaha RXZ pada harga murah.

Dikatakan, remaja tersebut melihat penjualan motosikal Yamaha RXZ dengan harga RM4,000 yang diiklankan di aplikasi TikTok oleh akaun ‘motosikal trusted malay’, pada jam 3 petang.

Dia yang tertarik dengan iklan itu kemudian berurusan dengan nombor yang disediakan di aplikasi WhatsApp sebelum bersetuju untuk membeli motosikal berkenaan.

Remaja itu yang juga bekerja sebagai buruh, telah membuat pemindahan RM2,000 sebagai deposit untuk motosikal tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, bagaimanapun mangsa berasa curiga apabila penjual memintanya membuat bayaran penuh bagi pembelian sebelum membuat semakan akaun kedai itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, ia adalah ‘scammer’ dan mangsa yang berasa tertipu dalam urusan itu kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Baca juga: Mufti Perlis saran guna duit zakat bantu anak, bekas ahli GISBH untuk jalani hidup baru