Tidak mustahil satu hati nanti mahu beli nasi lemak pun kena pakai kabel. Itu antara reaksi orang ramai selepas seorang wanita buka tembelang mendedahkan bagaimana dia boleh mendapatkan Perodua Alza baharu.
Wanita berkenaan bahkan mengucapkan syukur Alhamdulillah selepas menceritakan secara terperinci bagaimana dia memperoleh model baharu kereta kompak nasional itu.
Dia yang dianggap netizen terlalu teruja mengambil hak giliran orang lain memberitahu rupa-rupanya pengurus cawangan Perodua yang ditempahnya adalah sepupu ayahnya sendiri.
“Pagi tadi tanya SA (penasihat jualan), bunyi macam lambat lagi (dapat Perodua Alza baharu). Sejam kemudian setelah dapat usha kat manager, SA call beritahu, “Oh kak, saya cuba winkan kereta akak bulan ni jugak.”
“Beberapa jam kemudian beliau WhatsApp pula, “Alhamdulillah kak. Ada masuk sebiji ni, akak punya”,” tulisnya diikuti tiga emoticon ketawa.
Deretan komentar warganet kemudiannya membanjiri media sosial yang kebanyakannya bernada sinis dan lucu selain ‘menasihatkan’ pemilik kereta berharga sekurang-kurangnya RM62,000 itu untuk diam saja.
“Lagi 20 tahun nak beli nasi lemak tepi jalan pun kena pakai kabel gamaknya. Kesian anak cucu kita kelaparan sebab tiada kabel masa tu,” sindir Azzudin Abdul Aziz.
Sementara itu, Sheikh Fakar pula berpendapat wanita berkenaan telah mencantas hak orang lain mengakibatkan tempoh giliran menunggu tempahan kereta sampai bertambah panjang.
“Terlalu teruja mengambil hak sepatutnya milik orang lain punya tapi dicantas sebab kabel. Perkara kurang berkat ni biasanya…,” tulisnya tanpa menghabiskan ayat.
Tidak kurang juga ada yang berjenaka seperti Ruzi Khairi yang berkata, “Lepas ni, nak beli kabel pun kena pakai kabel jugak”.
Baca juga Mahu kereta hebat sanggup ‘skip’ duit bagi orang tua, kisah ini elok anak muda ambil peringatan
Baca juga Nak beli kereta terpakai? Lelaki kongsi 11 tip untuk pilih kereta yang betul