Sekeping gambar memaparkan nombor pendaftaran kereta ‘FF2’ yang dilekatkan di Perodua Bezza telah menjadi perbincangan hangat baru-baru ini.
Mana tidaknya, nombor plat yang bernilai RM638,000 itu dipercayai lebih mahal daripada harga kenderaan keluaran Perodua itu.
Sejak ditular di media sosial, pelbagai spekulasi mula timbul mengenai latar belakang sebenar pemilik kenderaan tersebut.
Menghentikan segala spekulasi, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim tampil menjelas perkara sebenar.
Menurutnya, gambar Perodua Bezza yang tersebar luas di media sosial itu sebenarnya telah disunting terlebih dahulu sebelum dimuat turun.
Menyunting dengan memadamkan huruf ‘K’, nombor plat pendaftaran kenderaan yang asal bagi Perodua Bezza itu adalah ‘KFF 2’.
Namun begitu, Datuk Zailani menjelaskan bahawa tidak ada masalah bagi pemilik nombor plat untuk melekatkannya pada mana-mana kenderaan.
Hal ini kerana, nombor plat itu sudah menjadi pemilik pembida yang telah menjelaskan bayaran kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Secara amnya, JPJ tiada isu jika nombor pendaftaran FF 2 didaftarkan pada mana-mana kenderaan, sekali pun pada motosikal.
“Sebab, pihak kerajaan/JPJ sudah menerima sejumlah bayaran oleh pembida yang berjaya semasa sesi bidaan (dalam talian @JPJebid), untuk nombor berkenaan,” katanya.
Baca juga: Beli plat harga RM638,000 tapi letak dekat Bezza, warganet laju buat siasatan