Malaysia Dateline

Beli unit tidak terjual, sewakan kepada anak muda

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mencadangkan agar kerajaan membeli unit-unit kediaman yang tidak terjual agar boleh disewakan dengan harga lebih murah kepada anak muda yang baru membina kerjaya.

Beliau berkata, kerajaan perlu melaksanakan kajian teliti untuk mencapai situasi menang-menang agar rumah kosong yang tidak terbeli itu dapat juga didiami rakyat Malaysia sendiri.

Lebih-lebih lagi katanya, ketika ini anak muda bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi termasuk perlu melangsaikan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) serta pinjaman lain.

“Hari ini pemaju-pemaju Malaysia mempunyai begitu banyak unit kediaman yang tidak boleh disewa atau dijual.

“Satu kajian terperinci perlu dibuat untuk mencapai situasi “win-win” yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.

“Kerajaan patut memberi lebih tumpuan pada anak-anak muda yang belum mempunyai kerjaya dan pendapatan yang stabil untuk membeli atau menyewa unit-unit kediaman terutamanya di bandar-bandar besar,” kata Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu itu.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata demikian dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Sementara itu, Raja Kamarul juga menyarankan agar kerajaan membina unit kediaman yang lebih padat atau berbentuk mikro atau kapsul dengan keluasan kurang dari 750 kaki persegi untuk membolehkan anak-anak muda mampu memiliki dan menyewa unit-unit tersebut.