Belia 18 tahun di Sarawak layak memilih pada PRN ke-12

Belia 18 tahun di Sarawak layak memilih pada PRN ke-12

Golongan belia yang berusia 18 tahun ke atas kini layak untuk memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang dijangka akan diadakan selewat-lewatnya menjelang awal tahun 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Malaysia, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, ini berikutan rang undang-undang untuk menurun had umur mengundi kepada 18 telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

“Pengundi 18 tahun ke atas sudahpun diterima terpakai dan diwartakan, jadi mereka boleh menuntut hak mereka supaya dimasukkan (nama) dalam daftar pemilih (sebelum PRN Sarawak Ke-12).

“Bagaimanapun, adalah digalakkan untuk berdaftar secara manual di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terdekat atau secara atas talian memandangkan mekanisme untuk pendaftaran secara automatik belum dapat dilaksanakan lagi pada ketika ini,” katanya pada sidang media sempena Sesi Libat Urus Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Peringkat Negeri Sarawak di Pustaka Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, mana-mana individu yang gagal menukarkan alamat terkini pada kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum PRN ke-12 mungkin tidak akan berpeluang untuk mengundi.

“Jika alamat anda sekarang adalah di Johor Bahru dan gagal dikemaskini mengikut tempat kelahiran sebelum PRN Ke-12 maka anda tidak boleh memilih. Ini kerana SPR akan memasukkan alamat yang didaftarkan seperti yang ada di dalam sistem JPN,” katanya.– BERNAMA