Malaysia Dateline

Belia MAYC akan berdemo sebagai bantahan sekiranya ICERD diratifikasi

Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia hari ini bertegas untuk membantah usaha untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Selepas mengambil kira pandangan daripada ahli-ahli MAYC diakar umbi yang terdiri daripada belia pelbagai kaum dan agama, MAYC berpendapat bahawa usaha untuk meratifikasikan ICERD ini adalah usaha untuk mengganggu gugat fungsi dan peranan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Presiden MAYC Kebangsaan Mohd Syahbuddin Hashim mengingatkan bahawa selama lebih 61 tahun negara ini merdeka, rakyat Malaysia mampu untuk hidup aman damai tanpa ICERD. Tidak ada satu kaum dan agama sekalipun di negara ini yang terpinggir atau didiskriminasi.

“Saya bimbang usaha untuk meratifikasikan ICERD ini sebenarnya adalah usaha pihak tertentu yang mempunyai agenda untuk menghapuskan Sistem Raja Berperlembagaan, Kedudukan Agama Islam dan hak-hak lain yang telah termaktub sekian lama,” ujarnya seperti dipetik Utusanonline hari ini.

Dalam pada itu Mohd Syahbuddin  Hashim menambah saya dan rakan-rakan di MAYC mengambil serius akan perkara ini dan tidak teragak-agak untuk menyeru golongan belia di seluruh negara untuk turun berdemo sebagai bantahan sekiranya ICERD ini masih ingin diratifikasi.

“Percayalah, ICERD ini hanya bakal mengundang ketidakharmonian antara kaum dan agama di negara ini dan tidak ada kebaikan yang signifikan daripada perkara ini.” ujarnya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga sebelum ini menyebut bahawa terdapat beberapa peruntukan dalam konvensyen itu yang tidak sesuai dengan negara ini.

Bagi Ketua Penerangan MAYC Kebangsaan Saiful Anuar Sazali berkata, kami melihat ada pihak-pihak tertentu yang ingin mengancam hak-hak orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Orang-orang Melayu Islam sudah cukup banyak berkorban demi negara berbilang bangsa dan agama ini dan tidak pernah sesekali mereka mengungkit tentang kaum-kaum lain. Jadi, saya bimbang sekiranya perkara ini bakal menyemai bibit-bibit persengketaan antara kaum.”

Seperti yang diketahui ICERD adalah sebuah konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berasaskan kepada prinsip maruah dan kesamarataan daripada sebarang diskriminasi kaum.