
Koordinator Dana Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau United Nations Democracy Fund (UNDEF) Pacos, Addy Samsuddin berpendapat masyarakat Orang Asal terutama golongan belia perlu memahami makna sebenar demokrasi agar dapat menjadi pengundi yang menyedari hak mereka sebagai rakyat.
Pengarah Pembangunan Kepimpinan Pemuda AMANAH Sabah itu berkata, demokrasi sebenarnya berkaitan dengan pemerintahan dan kekuasaan rakyat bukan sekadar mengundi semata-mata.
“Pemahaman Orang Asal termasuk belia tentang demokrasi umumnya masih rendah, hanya tahu keluar mengundi apabila pilihan raya. Itu pun ramai tidak mendaftar sebagai pemilih.
“Orang Asal khususnya belia perlu tahu hak mereka sebagai rakyat dan kebebasan bersuara serta memilih yang menjadi asas dalam semangat demokrasi,” ujarnya dalam satu program bual bicara anjuran AMANAH Sabah, 15 November lalu.
Sehubungan itu, pihaknya tampil membuat kajian melibatkan hala tuju belia di lokasi pedalaman termasuk mengggiatkan aktiviti pendidikan demokrasi di 10 kawasan Parlimen terpilih dengan sasaran penyertaan 150 belia.
“Kita melatih belia Orang Asal bukan sahaja ada kesedaran tapi menjadi pengundi yang bijak dalam membuat pilihan dan tidak terpengaruh dengan parti politik yang memberi rasuah sampul surat tebal atau janji mahupun ancaman.
“Sebaliknya, belia Orang Asal menjadi pengundi kritis menilai idea yang dibawa calon-calon bertanding bahkan di tahap celik politik yang tinggi mengenali calon sebagai bersih daripada rasuah serta tahu sumbangan calon kepada masyarakat.
“Kita tidak mahu (wakil rakyat) berkecuali dalam Parlimen. Kita mahu rakyat pilih wakil mereka di Parlimen yang lantang memperjuangkan suara rakyat,” katanya dalam slot dimoderatorkan Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Khairuddin Daud.
Menurut Addy, pendidikan demokrasi berkaitan hak belia sebagai rakyat ini diharap menyumbang pada kesedaran dan tindakan sekurang-kurangnya mendaftar sebagai pemilih seterusnya bangkit memperjuangkan hak masyarakat setempat.
“Kita harap belia-belia ini jadi barisan hadapan tampil ke depan untuk melawan sendiri penjajah-penjajah moden yang merampas tanah orang kampung.
“Mereka ini khususnya syarikat-syarikat besar yang masuk kampung memusnahkan tanaman dan menghalau penduduk kampung.
“Alangkah baiknya, jika belia Orang Asal yang berada di barisan hadapan berjuang menegakkan keadilan,” ujar Ketua Biro Kebajikan dan Keselamatan Pemuda Pakatan Harapan Sabah itu lagi.