Malaysia Dateline

‘Beliau bukan gemuk dan botak yang boleh dihina’, pemain kelab bola tampar pertahan jurulatih

Pemain-pemain Kelab Bola Tampar Melaka mempertahankan jurulatih mereka yang dikenali sebagai Cikgu Hadi selepas terpalit dengan kes menampar dua orang pemainnya ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022, 16 Disember lalu.

Pemain-pemain itu menegaskan bahawa Cikgu Hadi adalah jurulatih yang amat disenangi dan selama ini telah melatih mereka sehingga mencipta sejarah baru untuk Melaka.

Sebagai anak murid, mereka turut kecewa dengan tindakan Cikgu Hadi namun menganggap satu kesalahan tidak seharusnya ditutup dengan kebaikannya.

“Beliau bukan gemuk dan botak yang korang boleh hina. Beliau jurulatih kami yang melatih kami daripada hatinya yang ikhlas sehingga kami berjaya mencipta satu sejarah baru untuk negeri Melaka.

“Sebagai anak murid beliau juga berasa kecewa atas perbuatannya tetapi satu kesalahan yang telah beliau lakukan takkan menutup segala kebaikan yg telah beliau lakukan.

“Untuk pengetahuan semua, isu ini telah lama selesai. Tiada hurt feeling daripada para remaha dan juga ibu bapa kami,” kata kumpulan itu.

Mereka pada sama turut memohon agar orang ramai tidak berterusan melemparkan kecaman terhadap jurulatih mereka memandangkan isu tersebut telah pun selesai

“Kami memohon untuk menghentikan segala statement berkaitan coach kami .

“Netizen hanyalah orang luar dan bukan keluarga kami, hanya kami yg memahami ahli keluarga kami.

“Perbuatannya mungkin salah tapi itu untuk mendidik kami supaya kami menjadi pemain yang lebih baik di dalam gelanggang,” ujarnya.

Sebelum ini, tular satu klip video membabitkan jurulatih pasukan berkenaan yang menampar dua orang pemain di Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022 bagi kategori perempuan, sehingga mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Pada masa sama, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava), Hean Boon Yeow dilaporkan berkata, kekerasan fizikal bukan budaya bola tampar untuk membentuk kemahiran atlet dalam mana-mana peringkat umur.