Malaysia Dateline

Bella nampak ceria hadir ke mahkamah pakai baju Elsa

Kes penderaan membabitkan remaja sindrom down, Bella diteruskan pagi tadi dengan kelibat remaja itu mencuri tumpuan ketika menghadiri prosiding kes di Mahkamah Sesyen hari ini.

Bella hadir dengan memakai gaun berwarna biru beserta mahkota dan tongkat umpama watak seorang puteri raja dalam animasi Frozen, Elsa. Dia juga kelihatan ceria dan makin bersemangat dengan diiringi petugas JKM dan anggota polis.

Bella hadir ke mahkamah selaku saksi pendakwaan ke-18 dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memohon kepada mahkamah supaya perbicaraan kes dijalankan secara tertutup.

Ini kerana Bella adalah mangsa selain merupakan saksi pendakwaan kanak-kanak yang mana keterangannya tidak boleh dilaporkan oleh media dan mana-mana pihak.

“Kami sebelum ini memohon kepada mahkamah apabila kanak-kanak memberi keterangan, seorang perantara digunakan mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 dan seorang peneman mengikut Seksyen 9 akta sama

“Dua nama sudah diberikan kepada mahkamah ini iaitu Dr Nor Jumawaton Shahruddin dan Noor Faiidah Mohamed,” katanya di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Sementara itu, Izralizam berkata, mahkamah sebelum ini membenarkan pelantikan perantara dan peneman selain saksi terbabit adalah kanak-kanak kurang upaya.

Justeru mahkmah membenarkan permohonan pendakwaan supaya prosiding itu dijalankan secara tertutup dan mengarahkan orang awam untuk meninggalkan galeri awam sebelum prosiding bermula.

“Kali ini perbicaraan saksi iaitu Bella akan dijalankan melalui rangkaian secara langsung selaras Seksyen 31(b) Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007. Mahkamah juga mengikut Seksyen 12 akta sama seperti permohonan Timbalan Pendakwa Raya akan memulakan prosiding secara tertutup,” katanya.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan

Baca juga: Sifat sebenar seseorang akan terserlah apabila punyai jawatan dan kuasa – Sultan Nazrin

Baca juga: ‘Geng hobi mahal’ konvoi dekat jalan sempit, menyusahkan kenderaan lain nak potong