Malaysia Dateline

Belum ada jenazah boleh golek sendiri masuk lubang kubur

Ramai orang tanya saya betulkah orang ambil untung urus jenazah? Entah, saya pun tidak tahu.

Setakat ini saya belum pernah ambil upah sebab ada gaji lain dan ada sahabat-sahabat yang belanja saya serta upah saya dalam diam. Cuma, mudahnya kira begini.

Ada empat urusan jenazah yang wajib:

1. Mandi jenazah
Kos terlibat adalah masa dan waktu serta kepakaran jurumandi serta alatan yang digunakan. Kos di sini biasanya dalam RM300, atau mungkin lebih. Rasa terbeban? Panggil adik beradik, uruskan sendiri. Inilah pentingnya “Urusan Jenazah Education”.

2. Kapan jenazah
Peralatan sahaja melibatkan kos RM200 hingga RM300. Jangan lupa upah si tukang kafan. Kalau rasa terbeban, buat sendiri. Macam konsep DIY, beli barang dan buat sendiri. Kain, kapas dan sebagainya tidak boleh dibeli dengan hanya senyuman.

3. Solat jenazah
Yang ini, free of charge. Kalau ada orang kenakan caj, memang bermasalah. Nak dapat syurga percuma, neraka saja perlu bayar. Selalunya nak buat maksiat sahaja perlu keluarkan belanja.

4. Kebumi jenazah
Kos mengikut tempat. Bayaran sebenarnya adalah kos pengurusan tanah kubur supaya tanah kubur sentiasa terjaga dan berada dalam keadaan baik. Selain itu, kos penggalian kubur.

Kita dah guna kudrat dan masa orang lain, bayarlah upah yang sepadan. Sebahagian daripada mereka memang terima upah untuk hidup mereka.

Bagi kos Covid-19 pula, memang perlu ada kos tambahan sebanyak RM500 atau lebih bagi menghargai usaha sukarelawan yang membantu kalian kambus tanah dalam keadaan berisiko disamping PPE yang memenatkan.

Jangan lupa, kos pengangkutan iaitu van jenazah. Bukan soal dekat atau jauh, tetapi soal keperluan van itu sendiri. Minyak, penyelenggaraan dan sebagainya.

Kena ambil kira. Grab besar dan premium, mesti mahal, bukan? Sama macam van jenazah. Boleh baring ‘kan.

Jadi, memang biasa kos keseluruhan akan mencecah dalam RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap kematian.

Ada NGO kata percuma? Mereka pun berbayar cuma mereka guna dana awam yang dikutip ataupun dana mereka sendiri.

Percuma atas waris, tetapi mereka juga terpaksa keluarkan kos. Itu sahaja. Kalian menyumbang, mereka bergerak. Konsepnya sama, bayar juga.

Kesimpulannya?

✅ Jangan tinggalkan masjid atau surau kejiranan kalian. Daftar masuk khairat kematian.

✅ Menabung “simpanan kematian” sebab dalam Islam juga beritahu, perbelanjaan jenazah yang terbaik adalah dari poket si mati.

✅ Berkawan dan berbuat baik dengan sahabat serta masyarakat. Jangan hidup macam kera sumbang. Belum ada lagi jenazah boleh mandi sendiri dan golek sendiri masuk lubang kubur! Faham tak?