Malaysia Dateline

Belum ada kenyataan rasmi mengenai ECRL, kata Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menasihatkan beliau supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Saya telah berjumpa perdana menteri pagi ini dan beliau telah menasihatkan saya untuk tidak mengeluarkan sebarang pengumuman (berhubung ECRL) buat masa ini. Jadi, sila tunggu kenyataan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif Bank Negara Malaysia, Dana untuk rumah mampu milik dan Portal Rumahku, hari ini.

Ahad lepas Lim berkata kenyataan rasmi mengenai status projek ECRL akan dikeluarkan minggu ini iaitu sehari selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengumumkan kerajaan membuat keputusan untuk membatalkan projek bernilai RM81 bilion itu.

Lim berkata memandangkan ECRL melibatkan dana yang besar, pengumuman wajar dibuat menerusi kenyataan bertulis.

– BERNAMA