Malaysia Dateline

Belum ada keputusan institusikan Muafakat Nasional

Umno dan Pas  masih belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan untuk menginstitusikan Muafakat Nasional dan ia bergantung kepada Laporan Kajian Peringkat Jawatankuasa Teknikal kedua-dua parti itu.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan sewaktu melawat Laman Media Perhimpunan Agung Umno 2019 berkata cadangan menginstitusikan Muafakat Nasional itu perlu terlebih dahulu dinilai di segi kebaikan dan keburukannya.

“Kita belum membuat apa-apa keputusan lagi berkenaan perkara tersebut. Sama ada nak diinstitusikan atau pun tidak, terpulang kepada Laporan Kajian Peringkat Jawatankuasa Teknikal parti Umno dan Pas,” katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasarnya ketika Persidangan Pemuda menyeru agar kepimpinan tertinggi parti segera menginstitusikan Muafakat Nasional bukan sahaja melibatkan Umno-Pas tetapi juga rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan ‘Friends of BN’.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu di peringkat BN pula perlu dibincangkan secara konsensus dalam parti.

“Belum ada keputusan konkrit ketika ini. Kalau nak diinstitusikan macam mana, BN nak masuk sebagai satu parti, Gagasan Sejahtera sebagai satu parti ahli Kalau BN nak jadi ahli kita kena berunding di peringkat parti kita kerana BN memerlukan konsensus. Semua mesti setuju. Jadi ini yang akan kita lihat,” katanya.

Ketika ini Muafakat Nasional Umno  dan Pas tidak terikat antara satu sama lain dan piagam itu hanyalah sebuah tatakelola kerja.

Piagam Muafakat Nasional termeterai apabila kedua-dua presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada Umno dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi Pas menandatangani Piagam berkenaan pada 14 Sept lepas dengan menggariskan lima kandungan utama.– BERNAMA