Malaysia Dateline

Belum ada laporan penyakit berpunca daripada jerebu, kata MB Selangor

Kerajaan Selangor belum menerima sebarang laporan berhubung kes penyakit yang berpunca daripada jerebu di negeri ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata bagaimanapun kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mendapatkan maklum balas awal daripada pihak berkaitan bagi mengesan jika ada penyakit berkaitan gejala itu dalam kalangan masyarakat.

“Setakat ini, tiada lagi laporan penyakit berpunca daripada jerebu yang kita terima.

“…dan bagi pihak Dr Siti Mariah Mahmud (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri) juga mengambil maklum perkara itu dan memantau perkembangan perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah, hari ini.

Sehubungan itu, Amirudin mengingatkan orang ramai supaya mengambil pelbagai langkah bagi menjaga kesihatan termasuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah serta memakai penutup hidung dan mulut sekiranya terpaksa berada di luar rumah dalam tempoh panjang.

“Saya sendiri telah mengeluarkan amaran sejak tiga minggu lepas supaya semua pihak mengambil langkah yang perlu dalam menjaga kesihatan masing-masing sepanjang berlakunya masalah jerebu ini.

“Mereka yang ada simptom-simptom seperti batuk dan sebagainya diharap juga segera rujuk ke klinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Selangor yang direkodkan Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang ini, menunjukkan Johan Setia mencatatkan IPU tertinggi iaitu 236, diikuti Klang (196), Banting (183) dan Shah Alam (171).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

— BERNAMA