Belum bayar RM60,000 kepada Hidayah, Ali Puteh kecewa rumah arwah mak pula kena sita

Oleh KIM SYAZIE

Pelawak Ali Puteh, 34, kecewa apabila rumah ibunya, Allahyarham Sabariah Arshad bakal disita selepas dia gagal melunaskan tuntutan RM60,000 kepada balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Nurhidayah Mohd Ali sebagaimana diperintahkan mahkamah sebelum ini.

Ali berkata, dia baru sahaja menerima surat mahkamah dan mengatakan dia tidak pernah menolak untuk membayar ganti rugi kepada NurHidayah.

Namun katanya, dia sudah tiada langsung punca pendapatan dan kekal akan membayarnya secara ansuran.

Ali berkata, masalah berlaku hanya membabitkan dia dengan NurHidayah dan baginya ia tidak ada kena-mengena langsung dengan harta hak milik arwah ibunya dan ia dianggap tindakan tidak sepatutnya dibuat.

“Kenapa perlu kaitkan dengan rumah arwah mak saya? Masalah itu antara saya dengan balu arwah Abam saja. Saya pun baru dapat tahu benda ini dan surat (mahkamah) pun baru sampai. Lagi pun, bukannya saya nak menolak untuk membayar RM60,000 itu.

“Saya akan cuba membayarnya juga. Cuma, tak bolehlah nak bayar sekali gus sebab saya ada tanggungan keluarga. Kerjaya saya pun dah tak ada langsung dan mungkin akan bayar secara ansuran,” katanya seperti dilapor Harian Metro semalam.

Ali atau nama sebenar, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, ramai juga yang bertanya kepadanya mengenai pembayaran tuntutan RM60,000 itu.

Katanya, dia masih belum melunaskan bayaran lagi kerana pendapatan dalam karier seni sudah tidak macam dulu dan tiada tawaran persembahan diterima.

“Saya masih terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada pakcik yang memaklumkan rumah arwah mak di Batu 10, Gombak ini akan disita kerana perintah yang mahkamah sudah keluarkan.

“Saya jadi pelik sebabnya ini (rumah) harta arwah mak saya, kenapa pula dijadikan sebagai cagaran ataupun nak disita? Kes RM60,000 itu antara saya dengan balu arwah Abam. Tapi, kenapa kaitkan dengan harta arwah mak saya dan dicampur adukkan dalam kes ini?.

“Rumah arwah mak saya adalah di atas nama Allahyarham dan arwah bapa tiri saya. Ia bukannya diatas nama saya. Mana hati budi seseorang? Saya pun ada anak kecil.

“Dengan sitaan mahkamah, surat bercop (mahkamah) itu tidak sepatutnya terjadi. Nak balas dendam kononnya hukum karma, tak sebenarnya bukan. Saya dah tekankan, ini kes berlainan. Kes saya dengan balu arwah Abam lain dan kes faraid pun lain. Ia tak sama,” katanya.

Ali berkata, dia juga berdiam diri sebelum ini bukan sebab takut. Ujarnya, dia hanya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan kerana sudah cukuplah dirinya dimaki hamun orang.

Baca juga: ‘Cakap soal agama tapi urusan negara tak tahu’, Anwar tekad mahu banteras rasuah