Belum masanya ‘halalkan’ ganja, kata pakar perubatan

Belum masanya ‘halalkan’ ganja, kata pakar perubatan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tenaga dan masa golongan pemimpin muda diseru supaya ditumpukan ke arah usaha membasmi dadah bukan menggalakkannya demi kepentingan umum dan kesejahteraan rakyat, tegas Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi, Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud.

Beliau berkata, ramai belum faham konsep ‘menghalalkan’ ganja seperti dicadangkan oleh Ahli Parlimen Belia, Muhammad Ridhwan Muhamad Rosli yang kemudiannya disokong Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail.

“Lebih menarik apabila cadangan itu mendapat reaksi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pengasas Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi,” ujarnya dipetik daripada artikelnya di ruangan E-mel Pembaca dalam Berita Harian, 26 Februari lalu.

Dr Wan Mohd Rushidi yang merupakan pakar di Kedah Medical Centre berkata, keputusan untuk ‘menghalalkan’ ganja yang mengandungi lebih 460 bahan kimia itu tidak harus terburu-buru kerana penggunaannya di negara Barat pun masih belum menyeluruh.

“Mungkin mereka yang mencadangkannya pun belum begitu faham rasional dan justifikasi penggunaan ganja di sesetengah negara Barat serta kesesuaian langkah sama di negara ini,” ujarnya sambil mengakui ganja lebih popular di Malaysia sebagai bahan disalah guna.

Menurut beliau, pindaan undang-undang yang membenarkan penggunaan ganja yang berasal daripada beberapa spesies tumbuhan kanabis itu terhad untuk tujuan perubatan semata-mata dan bukan untuk rekreasi atau untuk disalah guna.

“Di sinilah kekhilafan dan salah faham dalam kalangan mereka yang ingin melihat ganja dihalalkan di negara ini. Penggunaan ganja dalam bidang perubatan masih pada peringkat kajian.

“Itupun terhad kepada penyakit tertentu dan dalam bentuk berbeza daripada digunakan dalam kalangan penagih,” ujarnya sambil menegaskan ganja tidak mengubat stress seperti didakwa sebaliknya hanya mengaburi atau mengurangkan symptom semata-mata.

Menghuraikan ganja yang digunakan untuk tujuan rawatan, Dr Wan Mohd Rushidi berkata, bentuknya bukan daun daripada pokok ganja tetapi terhad kepada ganja sintetik yang diubah kepada bentuk pil, suntikan atau semburan seperti digunakan beberapa negara di Eropah.

“Langkah ini dibuat bagi memastikan jaminan kawalan mutu produk dihasilka. Bahan kimia aktif daripada ganja diekstrak dan bahan tidak berguna atau boleh membawa mudarat diasingkan,” tambahnya lagi.

TAGS