Malaysia Dateline

Belum muktamad ambil alih empat lebuh raya RM6.2 bilion

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir. Amiruddin Hamzah memberitahu jumlah RM6.2 bilion yang ditawarkan kerajaan bagi mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol di Lembah Klang bukan nilai yang muktamad.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan proses sewajarnya sebelum memuktamadkan nilai yang sebenar.

“Jika proses wajar itu mendapati nilai itu terlalu rendah atau terlalu tinggi, sesuatu perlu dilakukan. Nilai tersebut bukan muktamad,” ujarnya.

Beliau berkata kepada media selepas perasmian Islamic Finance Innofest 2019, anjuran Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) di ibu negara hari ini.

Amiruddin berkata, keutamaan kerajaan PH adalah memastikan hasrat dalam manifesto untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan tol terlaksana.

“Pada asasnya, kita harap ia akan memberi kesan positif kepada pengguna jalan raya dan tidak menambah beban kewangan kepada kerajaan,” tambahnya lagi