Belum puas meraikan kejatuhan sebuah rejim

Belum puas meraikan kejatuhan sebuah rejim

Dunia hari ini begitu cepat, semakin cepat, malah terlalu cepat untuk Ahmad Lutfi Othman. Maklumat sampai ke hujung jari dalam sekelip mata.

Setiap tajuk besar muka depan akhbar harian kini menjadi berita basi untuk pembaca yang melayari laman internet. Apatah lagi akhbar mingguan, majalah bulanan, malah buku terbitan?

Realiti ini terlalu zalim buat pengamal media cetak veteran seperti Lutfi, lebih-lebih lagi beliau dibelenggu keuzuran berpanjangan yang ketara.

Namun beliau enggan mengalah, tetap meneruskan penerbitan buku berjudul “Revolusi Tanpa Darah”, sebagai rakaman detik-saat bersejarah politik tanahair.

Untuk pejuang demokrasi yang segenerasi dengan Lutfi, mengaku atau tidak, sudah tentu menanam tekad untuk menyaksikan pertukaran kerajaan persekutuan dalam hayatnya.

“Harapan” ini bersinar selepas PRU12 pada tahun 2008, hampir dipadamkan selepas PRU13 pada tahun 2013, setelah menemui kegagalan untuk menumbangkan regim Umno-Barisan Nasional sungguhpun merangkul undi popular 51 peratus.

Bagi Lutfi yang mampu mengimbas pengalaman pilihan raya umum sehingga tahun 1978 – sebagai seorang remaja yang menangis setelah mengetahui Pas hanya tinggal dua kerusi Dun selepas pilihan raya negeri Kelantan – sudah pasti kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada malam 9 Mei 2018 memberi makna yang besar.

Ia bukan semata-mata penantian selama 40 tahun, tetapi juga perjuangan selama 40 tahun.

Justeru, dalam bab “Sudut Pandang Lutfi”, terutamanya dua tulisan “24 jam sebelum Umno-BN tumbang”, ingatan Lutfi terus melayang dalam sejarah.

Umpama montaj dalam filem, Lutfi menjahit cebisan sejarah politik dari dahulu sehinggalah saat-saat sebelum kuasa kerajaan persekutuan bertukar tangan.

Sejarah puluhan tahun itu dimampatkan ke dalam 46 mukasurat, dengan kisah-kisah yang berlaku di sekelilingnya.
Keghairahan Lutfi terserlah, dalam tulisan “Mahu terus nikmati kenangan indah pagi 10 Mei” – beliau menulis, “kicauan burung subuh Khamis … masih harmonis di ingatan saya”, “Seharian itu asyik tersenyum simpul meskipun di kala keseorangan”.

Namun, perubahan yang dinanti-nantikan sekian lama, berubah dengan cepat. Belum lagi diraikan sepuas-puasnya, suasana keghairahan itu sudah meluntur.

Bahkan tatkala buku “Revolusi Tanpa Darah” ini siap dicetak pada Februari 2019, sembilan bulan selepas PH menawan Putrajaya – sentimen rakyat sudah berubah. Malah, PH telah kehilangan kerusi Dun Semenyih.

Perubahan ini dapat dikesan melalui tempahan buku ini, kata Lutfi kepada saya dalam pertemuan baru-baru ini.

Kecanggihan teknologi maklumat memacu peredaran zaman. Isu yang berlanjutan sehingga berminggu-minggu pada zaman sebelum adanya internet, barangkali hanya hangat untuk 24 jam pada zaman ini.

Mengambil contoh perdebatan politikus dalam media, ia mengambil masa untuk dirangka dan ditulis, diadakan sidang media, dilaporkan dan dicetak, kemudian diulangi proses yang sama untuk mereka yang mahu menyanggah hujah tersebut.

Namun semua ini boleh berlaku dalam media sosial, balas-membalas, cabar-mencabar, dan tunjukkan bukti jikalau perlu – bila-bila masa sahaja.

Kepantasan maklumat ini kadang-kala menuntut kita untuk cepat menilai, dan kebanyakan masanya, berakhir dengan cepat menghukum.

Kita semakin tidak sabar untuk membaca habis berita yang lengkap, sebaliknya terus melenting dan komen selepas diprovok tajuk berita. Latar belakang sejarah dan konteks menjadi kurang penting. Kita komen untuk dapatkan “Like”, dan “share” jikalau mampu.

Lama-kelamaan kita hilang kemampuan untuk menghayati apa yang ada, seolah-olah ia berlaku dengan mudah.

Ketidakupayaan kita untuk menelusuri sejarah, malah membuka perspektif seluas-luasnya, membuat kita mengambil mudah dengan kemudahan yang ada.

Misalnya 9 Mei 2018 – jatuhnya sebuah rejim berusia 61 tahun – tanpa menumpahkan setitis darah – dalam sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya. Terlalu mudah untuk generasi yang tidak tahu sejarahnya, terlalu senang untuk mereka yang tidak membandingkan pengalaman antarabangsa dengan tanahair sendiri. Ia berlaku tatkala gelombang demokrasi di dunia surut.

Dan jikalau dibandingkan negara serantau, secara tiba-tiba Malaysia menjadi model yang dikagumi ramai.

Thailand masih bergelut dalam genggaman kuasa monarki dengan tentera; Aung San Suu Kyi mengecewakan satu dunia dengan penindasan terhadap golongan Rohingya di Myanmar… Malaysia pula mengorak satu langkah ke depan, dan disusuli dengan reformasi sistem — sungguhpun amat perlahan langkahnya.

Namun, kita seolah-olah tidak menghargai peluang yang dibuka dalam sejarah.

Hakikatnya, pendemokrasian tidak berlaku hanya setelah tumbangnya sesebuah rejim. Ia memerlukan masa untuk memupuk persefahaman, kemudian diteruskan dengan pemulihan, dan pengukuhan institusi dan sistem negara.

Oleh itu, penerbitan buku “Revolusi Tanpa Darah” – sungguhpun mungkin tidak sempurna dari pelbagai sudut, tetapi memperlihatkan kesungguhan seorang penulis veteran untuk merakamkan semangat zaman – untuk dihayati dan dihargai pada masa depan. Sungguhpun proses penerbitan ini lambat, tetapi akhirnya ia berhasil.

Moga-moga begini juga dengan peristiwa 9 Mei 2018. Buku ini boleh diperolehi di kedai-kedai buku tertentu, atau sila hubungi Luqman 0192903291 untuk maklumat lanjut.