Belum reda kes Fattah, Fazura, netizen terkejut Emma Maembong dedah sudah bercerai

Oleh KIM SYAZIE

Belum pun reda dengan kes perceraian pasangan pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura, kali ini industri seni tanah air digemparkan pula dengan khabar aktres jelita Emma Maembong sudah bercerai dengan suaminya.

Perkara itu diberitahu sendiri tuan badan yang mengesahkan perceraian itu.

Khabar tersebut sekaligus menjadi bualan hangat pengguna media sosial yang langsung tidak menyangka keretakan dalam rumahtangga Emma.

Memetik laporan Kosmo! malam tadi, Emma memaklumkan rumahtangganya dengan ahli perniagaan Muhammad Shazli Azhar berakhir secara baik.

Bahkan, pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail itu juga memaklumkan dia sudah habis tempoh iddah dan memilih pendekatan tidak menghebohkan berita perceraiannya selama ini kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

“Ya kami sudah bercerai dan saya sudah tamat tempoh idah.

“Saya sebolehnya cuba menutup kisah peribadi saya walaupun saya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan media sebelum ini,” katanya.

Ditanya bila perceraian terjadi, Emma enggan berkongsi butir terperinci kerana baginya, itu bukan perkara yang indah untuk dikongsikan.

“Bagi saya, perpisahan ini bukan satu berita yang patut dibanggakan dan sebab itu saya mengambil langkah berdiam diri dan tidak bercerita kepada orang luar atau buat sebarang pengumuman.

“Namun, disebabkan hari ini saya menerima panggilan anda (media), saya rasa sudah tiba masanya untuk beritahu kepada umum supaya ia tidak lagi ditanya.

“Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh,” katanya lagi memetik Kosmo!

Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.

Baca juga: Rupanya kena masukkan 1 bahan ni, barulah ikan celup tepung rangup!