Malaysia Dateline

Belum sempat lemang panas, MB sudah mahu membalak di Kedah

Pemuda AMANAH Negeri Kedah mendesak Menteri Besar (MB) Kedah yang baru, Muhammad Sanusi Md Nor, supaya tidak membuka semula operasi pembalakan dan tender-tender balak.

Demikian dizahirkan oleh Ketua Pemudanya, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad.

Jelasnya, tender-tender balak tidak harus dibuka sama sekali dan perlu dibatalkan bagi mengelak broker-broker dan taukeh-taukeh besar meraih keuntungan hasil bumi negeri Kedah kerana ia merupakan khazanah pusaka rakyat Kedah yang sepatutnya dipulihara sebaik mungkin.

“Belum sempat lemang panas di para, MB Kedah yang baru telah berura-ura untuk membuka kembali tender pembalakan yang mana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tegas membatalkan semua tender-tender balak yang mana ia akan merosakkan ekosistem hasil bumi.

“Telahan perlu membayar pampasan sejumlah RM1 bilion adalah alasan yang tidak munasabah kerana hanya baru seminggu sahaja memegang tampuk pemerintahan telah cuba menjijikkan mandat yang telah diberikan rakyat.

“Lebih mendukacitakan kenyataan Ketua Pemuda Pas Kedah seolah-olah tidak konsisten apabila nilainya berubah-ubah umpama menjilat kembali ludah yang telah lama diluahkan,” tegasnya.

Tambah beliau, sekiranya benar pentadbiran kerajaan baru PN Kedah ingin meningkatkan sumber elonomi negeri, terdapat banyak lagi kaedah dan peluang yang dapat dipelopori dan bukannya dengan mengambil jalan mudah menghancurkan hasil sumber bumi yang telah sekian lama dijaga dengan baik oleh kerajaan PH.

Ujarnya lagi, sekiranya beginilah sikap yang diambil oleh MB pimpinan PN, maka tidak dapat dinafikan sinar gelap bagi rakyat negeri Kedah serta slogan Kedah aman makmur, nikmat untuk semua hanyalah ibarat indah khabar dari rupa seandainya tender-tender pembalakan tersebut hanya untuk individu maupun taukeh-taukeh serta kuncunya.

Malah kata Ridzwan, sepatutnya kawasan hutan balak ini menjadi rizab untuk tadahan air apakala keadaan air di negeri Kedah amat meruncing dan tidak mencukupi.

Beliau juga menyarankan agar contoh yang diaksanakan di Thailand dimana aktiviti pembalakan diharamkan demi untuk menjaga kepentingan alam sekitar dan ekosistem diteladani.