Malaysia Dateline

Belum siap tetapi bangunan baharu Hospital Tanah Merah terbakar

Tingkat tiga bangunan Hospital Tanah Merah yang masih dalam pembinaan terbakar kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dilapor segera menghantar pasukan sebaik menerima panggilan kecemasan.

Namun, pihak JBPM belum mengenal pasti punca kebakaran tetapi tidak menolak kemungkinan mempunyai kaitan dengan pemasakan kabel elektrik.

“Kawasan terjejas setakat ini adalah 2,000 meter persegi.

“Bagaimanapun laporan terperinci, punca dan keluasan sebenarnya belum dapat ditentukan kerana operasi di lokasi kejadian masih berjalan,” kata Komander Operasi, Balai Bomba Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zain.

Operasi pemadaman membabitkan beberapa jentera dengan dibantu 15 pegawai dan anggota.

Kebakaran dapat dikawal sekitar jam 9.50 malam namun usaha memadam api masih dijalankan sehingga menjelang tengah malam tadi, lapor Astro Awani.

Bangunan tambahan Hospital Tanah Merah setinggi tujuh tingkat itu dibina dengan kos sebanyak RM150 juta dan mampu menempatkan 124 katil apabila siap nanti.

Pertambahan bangunan baharu dilengkapi klinik pakar serta 300 petak ruang meletak kenderaan itu juga dikatakan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 penduduk di Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Jeli.

Pandangan udara projek bangunan tambahan Hospital Tanah Merah pada awal tahun lalu.