Belum terima kertas undi, pengundi pos di London lancar protes

50 pengundi pos berdaftar di London membuat bantahan kerana tidak menerima kertas undi.

Kira-kira 50 rakyat Malaysia di London melancarkan protes kerana mendakwa masih belum menerima kertas undi pos.

Berpakaian kuning Bersih 2.0, mereka berhimpun di pejabat Tourism Malaysia dekat Trafalgar Square sambil mengangkat sepanduk tertera ungkapan, “Mana kertas undi kami?”.

Setakat semalam, pengundi pos di Australia, Itali, dan Perancis turut berkongsi merungut di media sosial lantaran bimbang kertas undi tidak sempat sampai untuk dikira esok.

Mereka bimbang, kertas undi itu dipangkah oleh orang lain bagi pihak mereka.

Terdapat 212,834 pengundi pos merangkumi permohonan melalui Borang 1A seperti petugas pilihan raya, anggota tentera, anggota polis dan petugas media sebanyak 149,730 permohonan.

Bagi kategori permohonan melalui Borang 1B pula iaitu terdiri daripada warganegara Malaysia yang berada di luar negara adalah sebanyak 7,979 permohonan.

Pengundi pos melalui Borang 1C pula melibatkan sebanyak 51,472 pemohon terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen dan Polis Sukarelawan (PVR).

Turut layak menggunakan Borang 1C petugas kesihatan di Hospital dan Klinik Kerajaan, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Penjara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Selain itu, terdapat 3,653 permohonan bagi kategori Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara terdiri daripada penjawat awam yang bertugas di luar negara dan pasangan serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi pos agar segera mengembalikan kertas undi pos kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di bahagian pilihan raya masing-masing sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi esok.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS