Siapa sangka, pelakon iaitu Ben Amir rela meninggalkan kerjayanya dan menjual hampir kesemua aset miliknya selepas mengambil keputusan untuk menetap di Pulau Siargao, Filipina.
Menurut pelakon berusia 35 tahun itu, keputusan tersebut diambil untuk mencari ketenangan dan hala tuju baharu ekoran tiada perkembangan dalam dunia lakonan selama bekerjaya hampir mencecah dua dekad.
Pemilik nama sebenar Muhammad Amir Sabaruddin itu juga mendedahkan bahawa hampir semua harta miliknya sudah dijual kecuali sebuah kereta sebelum berpindah ke pulau berkenaan.
Perkara tersebut didedahkan oleh Ben yang juga Finalis Pertandingan Hero Remaja 2011/2012 itu menerusi satu perkongsian video dimuat naik di akaun Youtube miliknya baru-baru ini.
“Saya sudah berlakon selama 15 tahun dan rasa buat perkara sama, tiada perkembangan. Cukuplah kehidupan di bandar. Saya jual semua kecuali kereta dan berpindah ke sini (Siargao).
“Memang keputusan yang berani dan keluarga pun terkejut,” kata pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu dalam rakaman berdurasi 20 minit 30 saat untuk berkongsikan perkembangan terbaharunya.
Mengulas lanjut, Ben Amir memaklumkan bahawa dirinya mula menjejakkan kaki ke pulau itu pada bulan Disember 2023 ketika mengembara di beberapa tempat di sekitar Filipina selama hampir satu bulan.
Pelakon drama bersiri Sweet Dreams terbabit tidak terfikir mahu menetap di Pulau Siargao ketika itu namun segalanya berubah apabila Ben kembali berkunjung pada 2024 dan memutuskan untuk terus bermastautin di sana.
Ben dalam perkongsian sama turut menyifatkan bahawa pengalaman sedemikian sebagai ‘sumpahan Siargao’ berikutan ramai individu yang datang ke pulau tersebut mengakui mengalami kejadian serupa.
“Saya melawat ke Pulau Siargao pada hujung tahun 2023 pada bulan Disember. Ketika itu sekadar berangan-angan macam seronok juga kalau tinggal sini. Tetapi macam ada sesuatu yang berubah apabila datang semula pada 2024.
“Pulau ini bagaikan memanggil saya, susah nak cakap bagaimana. Jadi ketika itu, saya membuat keputusan untuk pindah sini. Apabila bersembang dengan ramai orang, mereka semua cakap perkara sama.
“Ia bagaikan sumpahan Siargao,” akui Ben Amir yang kini sedang berada di dalam proses untuk membina rumah sendiri selain memulakan projek tanaman di kawasan tanah miliknya di pulau berkenaan.
Dalam perkongsian tersebut, Ben juga mengakui bahawa kehidupannya kini jauh lebih tenang dan tiada lagi tekanan dengan rutin yang padat seperti ketika tinggal di Kuala Lumpur.
Baca juga: Wanita hampir pitam duit dalam akaun tabung haji anak lesap