Malaysia Dateline

Benar Heineken beroperasi: Mana Pas, mengapa berdiam diri?

Pendirian Pas kini dipersoal selepas sebuah syarikat pengeluar minuman keras boleh pula dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali melahirkan rasa hairan terhadap parti komponen kerajaan ‘tebuk atap’ itu yang dilihat mengambil jalan ‘mengunci’ tangan serta mulut mereka.

Malah, rakan sekutu yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu juga sama sekali tidak bersuara dengan isu yang dikatakan tidak memberi kesan lebih baik kepada rakyat sewaktu PKP dilaksana.

“Pemuda AMANAH Terengganu kesal apabila Pas yang selalu menjadi juara dalam isu sebegini berdiam diri pula setakat ini.

“Ya, mungkin tabbayun. Entah apa yang mengunci tangan dan mulut mereka.

“Adakah kebimbangan kilang arak mengalami kerugian dan ramai orang hilang kerja atau disibukkan dengan pembahagian ghanimah perang yang dipunggah melalui pintu belakang,” soalnya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Zamir menegaskan tindakan kerajaan PN sebagai tidak wajar ketika statistik menunjukkan berlakunya peningkatan aduan pergaduhan rumahtangga.

Jelasnya, adalah satu perkara yang malang apabila pada ketika ini kerajaan pula membenarkan pengoperasian kilang arak.

Walhal, tegasnya, panggilan ke Talian Kasih terus meningkat sehingga 58 peratus sejak PKP dikuatkasakan.

“Bayangkan pula jika arak tersebut nanti dijual dengan harga rendah dengan pelbagai promosi meskipun kepada pengguna bukan Islam. Tidakkah buruk kesan kemudian yang mendatang?

“Kita tak mahu nanti ada promosi harga runtuh minuman keras dengan pelbagai pertandingan bonanza diadakan demi menarik kembali ramai pengguna minum arak hanya semata bagi menampung kesan kemelesetan perniagaan berasaskan minuman keras.

“Pemuda AMANAH Terengganu bimbang sekiranya jualan arak tidak dikawal, ini akan memberi kesan yang lebih buruk kerana arak mampu merampas kewarasan akal manusia,” katanya.

Sementara itu, Zamir mengingatkan kerajaan mesti menumpukan usaha memastikan makanan asasi mencukupi dan menyelesaikan masalah hasil tani yang dibuang seperti di Kundasang dan Cameron Highlands.

Tambahnya, keutamaan membantu kumpulan industri seperti itu adalah lebih menepati aturan Maqasid Syariah berbanding operasi perniagaan arak.