Malaysia Dateline

Benar, Mahathir mahu pecat Yeo ekoran isu Lynas

Ya, memang benar, pada tahun 2019, Mahathir mahu memecat Yeo Bee Yin sebagai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ekoran isu Lynas walaupun perkara ini akhirnya tidak berlaku

Malaysiakini hari ini memetik satu bab dalam buku terbaharu Liew Chin Tong yang mendedahkan pada 2019 mengenai hasrat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Yeo Bee Yin sebagai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ekoran ekoran isu Lynas walaupun perkara ini akhirnya tidak berlaku.

Saya tidak pernah terlibat dengan perkara, namun saya telah diberitahu mengenainya.

Kejadian ini menyerlahkan kerumitan dalam kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir ketika itu.

Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa Pakatan Harapan perlu mengambil iktibar daripada pengalaman mentadbir Putrajaya selama 22 bulan sebelum digulingkan oleh konspirasi Langkah Sheraton yang menubuhkan sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak demokratik, tidak sah dan merupakan sebuah kakistokrasi.

Salah satu iktibar yang perlu dihayati adalah tentang janji yang dibuat semasa pilihan raya.

Kita menawarkan Buku Harapan sebagai janji-janji pilihan raya yang dibuat untuk Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Pada peringkat awal pentadbiran Pakatan Harapan lagi, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengatakan bahawa manifesto bukanlah satu kitab suci.

Kesannya, sekiranya Pakatan Harapan berjaya menunaikan 80 atau 90 peratus daripada janji-janji pilihan raya dalam tempoh lima tahun sekalipun, rakyat tentu akan sukar untuk mempercayainya.

Lebih buruk lagi apabila mandat selama lima tahun yang diberikan rakyat kepada kerajaan PH dirampas melalui konspirasi Langkah Sheraton.

Kerajaan PH bukanlah sebuah kerajaan DAP, sebaliknya, ia adalah kerajaan yang terbentuk hasil kerjasama erat empat buah parti politik — DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.

Seperti yang dinukilkan Chin Tong di dalam bukunya itu, saya bertemu Mahathir sebanyak dua kali semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Dalam pertemuan itu saya membincangkan mengenai kepentingan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat dan merangka satu penjelasan yang dipersetujui bersama berkenaan manifesto dan dasar-dasar Pakatan Harapan.

Selepas pertemuan kedua, Pakatan Harapan menubuhkan jawatankuasa khas semakan janji manifesto dengan Chin Tong sebagai pengerusinya yang bertujuan untuk menangani masalah persepsi awam berhubung janji-janji pilihan raya yang kononnya tidak ditunaikan. Malangnya, kerajaan PH digulingkan melalui Langkah Sheraton sebelum jawatankuasa tersebut dapat menyiapkan laporannya.

Inilah sebabnya mengapa saya tidak faham dengan sikap sesetengah pihak yang enggan mendengar penjelasan tentang mengapa janji-janji pilihan raya yang tertentu tidak dapat ditunaikan, sebagai contoh; isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)

Janji PRU14 berkenaan UEC yang termaktub dalam Buku Harapan menyatakan:

“Pakatan Harapan akan mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.”

Semasa Pemukiman DAP pada 2019, Mahathir ketika itu berkata kerajaan PH komited untuk menunaikan janji bagi mengiktiraf sijil EUC. Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan komitmen yang sama.

Kini mustahil untuk PH melaksanakan janji tersebut selepas digulingkan konspirasi Langkah Sheraton.

Ada penyokong yang mahu DAP kembali ke masa lampau dan hanya menjadi parti pembangkang semula.

Saya telah menjadi pembangkang selama 52 tahun dan saya tidak sedikit pun gentar untuk kembali duduk di kerusi pembangkang. Pun begitu, kita harus mempunyai matlamat untuk kembali membentuk kerajaan semula, kerana hanya dengan kuasa segala pembaharuan dan reformasi dapat dilaksanakan.

Namun kita harus bersikap realistik, kita perlu bekerjasama dengan pemimpin politik yang sehaluan dengan kita, yang bersama ingin mengejar dan menjadikan Impian Malaysia untuk menjadikan negara ini sebuah negara hebat bertaraf dunia satu kenyataan, kerana DAP tidak akan mampu untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Pemimpin DAP tidak harus termakan dengan godaan kuasa, tidak kira semasa menjadi kerajaan atau pembangkang, dan sepanjang 55 tahun sejarah DAP, pemimpin DAP tidak pernah sekalipun mengingkari prinsip keramat ini.