Benar, pc Menteri Agama tidak sempurna tapi apa sikap kita?

Benar, pc Menteri Agama tidak sempurna tapi apa sikap kita?

Benar, pc Menteri Agama tidak sempurna.

Benar, beliau bersalam dengan individu yang nampak seperti perempuan, hakikatnya adalah LELAKI.

Benar, pc itu tidak menjawab segala perasaan dan emosi orang yang lengkap imannya.

Namun, di manakah kita ketika kawan-kawan lelaki di sekolah atau universiti yang lembut diejek pondan dan perempuan yang gagah dipanggil tomboy?

Apakah kita lakukan kepada golongan yang mahu kembali ke jalan yang benar, dipersendakan keikhlasan dan diketawakan berkali-kali?

Adakah kita menjadi pendengar kepada rintihan masa silam mereka yang didera emosi dan seksual mereka, hanya telinga tidak boleh mendengar perkara buruk disebabkan keimanan kita?

Tidak memandangkah kita kepada golongan peguam yang membawa kes, doktor yang merawat, kaunselor yang menenangkan, pendakwah yang mendekati, pembesar yang membuka jalan untuk membawa mereka kepada yang betul, dan kawan-kawan yang menerima mereka?

Apa kerja kita hari ini? Menaip dan memarahi ketidaksempurnaan orang lain yang ada usaha walaupun ia jelek di mata kita.

KEPADA mereka yang dijadikan isu hangat sekarang, tidakkah kalian kasih kepada mereka yang prihatin ingin melihat kalian kembali normal?

Tidakkah ada rasa mahu berubah dan saling menguat sesama sendiri dengan jiwa yang baru?

Mahukah kalian membuktikan kekuatan masing-masing dan menzahirkan kebaikan yang ada dalam diri kepada dunia terutama kepada rakyat Malaysia yang saban masa dan tidak bersabar menanti perubahan?

Perlukah kalian mencabar kesabaran orang lain dalam perkara ini yang sememangnya wujud sudah lama sebelum ini?

JELAS, perbuatan tersebut tidak diiktiraf oleh mana-mana manusia yang normal kerana ia adalah dosa yang nyata.

Dan masing-masing ada dosa dan pahala akibat daripada perbuatan dan ibadat. Jangan menuding jari kepada sesiapa. Tunjukkan jari itu kepada diri sendiri apabila berlakunya kemudaratan.

Kerana dosa itu daripada barangkali hamba yang tidak solat, rasa bangga dan riak, pertukaran jantina, kehidupan sosial yang melampau, perhubungan seksual haram, rompakan, rasuah, pemerintah yang zalim dan apa sahaja yang disebut maksiat.

Namun, ingatkah kita akan rahmat Allah kepada mereka yang bertaubat, selagi mana hamba Allah yang walaupun berdosa seperti buih di lautan, dan masih beriman dan percaya kepada Allah dan Nabi, ada darjatnya di sisi Allah?

Rahmat Allah lebih luas daripada kemurkaaanNya. Kasih Nabi kepada ummat lebih besar daripada kemarahannya.
Siapa yang Allah kasih dan siapa yang Dia marah, hanya di dalam rahsiaNya.

Adakah kita sudah lakukan rahmah di dunia ini?

CATEGORIES