Benarkah Islam sedang dihina?

Benarkah Islam sedang dihina?

Dewasa ini dari corong-corong masjid dan muka buku para Islamis, kita sering dengar rungutan mereka bahawa ‘Islam sedang dihina di Malaysia’. Soalnya ‘benarkah ia berlaku?’ dan ‘anda sedarkah ia sedang berlaku’?

Islam adalah agama bagi Persekutuan yang telah termaktub dalam perlembagaan negara. Ini termaktub sejak dari merdeka pada tahun 1957.

Islam dari sudut; ajaran, amalan, penghayatan dan pelaksaaan hukum hakamnya khasnya dalam muamalah dan ahwal syaksiah telah berjalan di Malaysia. Keberkesanannya boleh dibincangkan, namun hakikatnya, ia telah berjalan.

Dalam masa yang sama, wajah Islam ada sedikit ‘tercalar’ dari masa ke semasa kerana akhlak para penganutnya dan juga hasil dari penampilan wajah Islam yang melampau.

Apakah penganut agama lain tidak menghina Islam? Apa yang berada dalam ‘pemikiran’ dan ‘perancangan’ bukan urusan kita, namun secara zahirnya kita dapati bahawa suasana ‘hidup bersama’ masih berjalan paling tidak seperti sembilan bulan yang lalu.

Curiga-mencurigai antara kaum adalah satu ‘keniscayaan’ dan ia merupakan cabaran kepada pimpinan masyarakat untuk menguruskannya dengan tenang dan ‘kepala dingin’.

Kegagalan mengurus dengan baik akan merumitkan usaha pengukuhan keharmonian antara kaum dan agama.

Yang nyata ungkapan ‘Islam sedang dihina’ hanyalah mainan kata dan juga sebagai ‘kayu api’ untuk membakar emosi para pengikut dan rakyat.

Awas! Para pelampau agama sedang menyala dan menyemarakkan api ‘permusuhan’ atas nama penghinaan kepada agama.

Benarkah ia berlaku? Bijakkah kita dalam menanganinya?

* Penulis ialah Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah.