Benarkah reputasi pencarum KWSP dengan bank terjejas lepas keluar RM10,000? RHB Bank ada jawapannya

Oleh NASUHA RAHMAN

Reputasi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan bank terjejas lepas keluar RM10,000 tidak akan terjejas, demikian menurut RHB Bank Berhad.

Pengeluaran simpanan KWSP tidak akan memberi kesan atau jejaskan skor kredit dan kelulusan permohonan pinjaman bank untuk pemegang akaun mereka.

Menerusi kenyataan balas di Twitter rasmi, RHB menjawab mengenai kebimbangan pengguna yang mendakwa pengeluaran KWSP boleh menjejaskan reputasi pemegang akaun yang ingin melakukan urusan dengan pihak bank.

”Berhubung perkara ini, sukacita dimaklumkan bahawa pengeluaran KWSP, termasuk pengeluaran khas, tidak jejaskan skor kredit pelanggan dan kelulusan pinjaman oleh pihak bank,” kata RHB.

Tambah RHB, kelulusan permohonan pinjaman adalah tertakluk kepada keputusan pihak bank selepas melihat penilaian kredit akhir pemohon.

Terdahulu, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.

Benarkah reputasi pencarum KWSP dengan bank terjejas lepas keluar RM10,000? RHB Bank ada jawapannya
Pengeluaran simpanan KWSP tidak akan memberi kesan atau jejaskan skor kredit peminjam

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu sukar dibuat kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat.

Namun, pencarum dikatakan wajar mendapatkan khidmat nasihat kewangan daripada mana-mana agensi berkaitan, sebelum membuat pengeluaran KWSP ini.

Berdasarkan kemas kini terbaharu dari KWSP, pengeluaran khas tersebut adalah terbuka kepada semua ahli KWSP berumur kurang dari 55 tahun.

Permohonan boleh dibuat mulai 1 April hingga 30 April 2022 secara atas talian. Manakala pembayaran akan dikreditkan bermula 20 April 2022.

Amaun pengeluaran minimum untuk pengeluaran khas ini adalah sebanyak RM50 sehingga RM10,000.

Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran pencarum adalah tertakluk kepada baki simpanan Akaun Dua.

Namun, sekiranya baki Akaun Dua tidak mencukupi, simpanan dari Akaun Satu pencarum akan diakses oleh pihak KWSP.

Tambah KWSP, maklumat terkini berkaitan permohonan pengeluaran khas ini akan dimaklumkan oleh pihak KWSP dari semasa ke semasa.