Malaysia Dateline

Benarkah SSM telah kenakan kompaun kepada anak syarikat kerajaan Terengganu

Kerajaan negeri Terengganu pimpinan Pas diminta mendedahkan apakah benar anak syarikatnya, TDM Berhad telah dikenakan kompaun oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berikutan kegagalannya menghantar laporan tahunan tiga tahun berturut-turut.

Menurut Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin, beliau mendapat maklumat SSM telah mengenakan kompaun kepada TDM Bhd ekoran kesalahan itu.

“Pada hari ini kami telah di fahamkan dari sumber yang bolih di percayai-

i) SSM telah mengenakan kompaun atas kesalahan peraturan korporat TDM yang di percayai telah melanggar seksyen 30 (1b)

ii) Di fahamkan TDM Bhd telah membayar saman kompaun tersebut,” kata Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu itu.

Bagi beliau, tempoh satu bulan adalah tempoh waktu amat lama untuk Pengarah Urusan TDM dan Menteri Besar Terengganu untuk berdiam diri dalam isu penting TDM Bhd ini selepas beliau membuat permintaan agar kedua-dua mereka menjawab persoalan ini sebulan lalu.

“Oleh itu di sini saya menuntut dan mencabar Menteri Besar Terengganu dan Pengarah Urusan TDM Bhd menjawab soalan-soalan tersebut di bawah :-

i) Adakah benar SSM telah mengenakan kompaun ke atas TDM Bhd kerana gagal mengemukakan penyata kewangan tahunan bagi tahun 2016, 2017 dan 2018 ?

ii) Kalau benar kompaun telah di kenakan, berapa kah jumlah bayaran kompaun yang terpaksa di bayar

iii) Adakah TDM Bhd syarikat patuh syariah seperti di nyatakan dalam halaman portal TDM ?” kata bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Beliau juga bertanya Ahli Parlimen Kuala Terengganu Haji Ahmad Amzad, jika beliau masih menganggap kenyataan beliau dalam isu TDM perkara keterlaluan atau ianya tidak benar.

“Pihak Kerajaan Terengganu dan TDM Bhd tidak boleh terus membisu dalam isu kontroversi ini.

“Kerajaan Terengganu dan TDM Bhd perlu menjawap segera persoalan persoalan di atas jika mereka berada di pihak yang benar,” kata Raja Bahrin.

Sebulan lalu, akhir Ogos 2020, Raja Bahrin mula membangkit isu kegagalan TDM Berhad menghantar laporan tahunan kepada SSM selama tiga tahun berturut-turut padahal ia kononnya diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang hebat dan bergaji besar.