Malaysia Dateline

Kerana banyak jawatan, TDM tidak hantar laporan 3 tahun berturut-turut

Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah (gambar bawah) meminta kerajaan negeri segera mengesahkan sama ada benar dakwaan syarikat Terengganu Development and Management (TDM) Berhad gagal menghantar laporan kewangan tahunan selama tiga tahun berturut-turut.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana kerajaan Terengganu boleh membenarkan sebuah syarikat milik kerajaan negeri sendiri melanggar peraturan pengurusan syarikat yang bertentangan dengan Akta SSM Seksyen 68 (1) iaitu gagal menyerahsimpan penyata tahunan.

Justeru itu beliau menggesa agar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjalankan tugas mereka untuk mengenakan tindakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan dan tidak sesekali membiarkan campur tangan kerajaan negeri dalam hal tersebut.

“Situasi TDM menujukkan betapa tidak bijak kerajaan Terengganu melantik seseorang memegang begitu banyak jawatan pengarah GLC yang tidak mampu memberi perhatian tugas dengan keupayaan yang cekap.

“Menteri Besar Terengganu dan Pengerusi TDM patut bertanggungjawab atas kelemahan dan kesalahan yang berlaku ke atas TDM hari ini.

“Mengapa beberapa tahun lapuran kewangan tahunan belum di hantar sehingga hari ini?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini dilaporkan oleh Terengganu Fokus yang memetik sumber bahawa sehingga September tahun ini, TDM juga belum menghantar Laporan Audit Kewangan 2019 walaupun sepatutnya dihantar pada Jun 2020

Tindakan ini menurutnya melanggar Akta SSM Seksyen 259 (1)(a).

Dilaporkan anak syarikat kerajaan negeri itu gagal menghantar laporan kewangan tahunan dari 2017 sehingga 2019.

Sementara itu, Kamarul yang juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional menegaskan, untuk setiap kesalahan tidak menghantar laporan kewangan tahunan perlu dikenakan denda sebanyak RM5,000 kepada setiap pengarah.

Selain itu, kesalahan tidak menghantar laporan audit pengarah TDM pula perlu dikenakan denda bayaran sebanyak RM50,000.

“Jika benar seperti dilaporkan, kes masalah TDM adalah bukti rungutan kami bagi pihak rakyat kerana pengarah yang dilantik tidak mempunyai kesungguhan atau pengalaman untuk tumpu pada begitu banyak syarikat.

“Menteri Besar Terengganu juga patut bertanggungjawab kenapa perlantikan pengarah hanya dalam kalangan orang tertentu sahaja sementara ramai lagi anak Terengganu yang berkebolehan tetapi tidak dilantik,” katanya lagi.