Malaysia Dateline

Benarkah FIAT pendakwa kes Najib telah ditarik balik?

Menteri Undang-undang diminta menjelaskan apakah benar FIAT untuk seorang peguam bagi mewakili Jabatan Peguam Negara untuk kes Datuk Seri Najib Razak telah ditarik balik.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin (gambar) ketika berucap membahaskan titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini bertanya, apakah benar FIAT itu telah ditarik balik oleh Jabatan Peguam Negara.

“Saya terima maklumat, yang saya tidak boleh pastikan kesahihannya, dakwaan ada peguambela senior (katanya peguam V. Sithambaram) yang diberi FIAT (special authorization dari pejabat Peguam Negara) untuk mewakili pihak pendakwa mendakwa YB Pekan dalam kes jenayah ke atas YB tersebut, telah ditarik balik.

“Justeru itu, saya minta YB Menteri Undang- Undang mengesahkan perkara tersebut. Sekiranya terbukti benar dakwaan tersebut, saya minta YB Menteri menjelaskan hal tersebut -kenapa FIAT itu ditarik balik?” kata Hanipa ketika berucap.

Sebelum ini, Malaysia Dateline difahamkan, dua peguam senior iaitu Datuk Seri G Sri Ram dan V. Sithambaram telah diberikan FIAT oleh Peguam Negara untuk menjadi Timbalan Pendakwaraya dalam kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sithambaran, seorang peguam senior dari Pulau Pinang telah diberikan FIAT untuk mewakili Jabatan Peguam Negara dalam kes SRC International pada awal 2019 lagi.

Jika FIAT ini ditarik balik bermakna, peguam ini tidak boleh lagi bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes Najib yang akan bermula di Mahkamah Rayuan tidak lama lagi.

Semasa di Mahkamah Tinggi, V Sithambaram, telah telah bertindak sebagai timbalan pendakwaraya melawan Najib sehingga dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Najib telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ini.

Pada 12 Jun 2020 lagi,  Najib memfailkan permohonan untuk menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kesnya yang didakwa meminda laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SOP MASJID

Dalam perbahasan hari ini juga Hanipa, bekas Timbalan Menteri Undang-undang itu juga menyentuh mengenai SOP di masjid.

“Walaupun saya tak expect YB Senator Menteri Agama yang baru akan bentang RUU pindaaan kepada Akta 355 (RUU 355), namun saya harap beliau boleh lakukan sesuatu mengenai isu SOP di masjid-masjid kerana saya menerima aduan mengenai ketidakpuasan rakyat mengenai isu tersebut,” katanya.

Beliau juga menyentuh mengenai video yang viral mengenai layanan istimewa kepada VIP dalam isu kehadiran di masjid.