Umum tahu bahawa kenderaan dengan plat negara luar tidak dibenarkan mengisi minyak RON95 kerana harganya jauh lebih rendah.
Tular baru-baru ini mengenai kejadian di stesen minyak terletak di Rehat dan Rawat (R&R) apabila membenarkan kenderaan asing dari Thailand untuk mengisi minyak RON95 Januari lalu.
Menurut Kosmo! Online, pemiliknya, Mohammad Naziruddin Abu Hassan akhirnya mengaku bersalah.
Pemilik berusia 61 tahun selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 26 April ini bagi fakta kes dan jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Naziruddin selaku pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel gagal mematuhi Arahan Pengawal Bekalan.
Ia adalah susulan penjualan barang kawalan berjadual petrol RON 95 sebanyak 48.78 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing dari Thailand.
Perbuatan tersebut melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat, Lebuh Raya Utara- Selatan arah utara pada pukul 9.16 pagi pada 1 Januari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukan denda tidak lebih RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika kesalahan.
Baca juga: