Malaysia Dateline

Benarkan kerajaan negeri dapatkan vaksin untuk rakyat

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendesak kerajaan Persekutuan supaya memberi kebenaran kepada kerajaan-kerajaan negeri berusaha mendapatkan vaksin untuk rakyat mereka.

Wakil rakyat PKR itu berpendapat, hal tersebut begitu mendesak memandangkan kerajaan Persekutuan yang diperintah oleh Perikatan Nasional (PN) terlalu lambat dalam melaksanakan program vaksinasi di seluruh negara.

Oleh itu, jelasnya, melalui kerjasama kerajaan-kerajaan negeri, program vaksinasi dapat dipercepatkan.

Dalam masa sama, beliau berkata, jumlah jangkitan kes baharu Covid-19 telah naik dengan mendadak dalam beberapa hari ini.

“Contohnya, pada hari ini sahaja, jumlah kes baharu direkodkan adalah sebanyak 6,806, melebihi paras 6,000 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan kerajaan Persekutuan perlu menyedari bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak digantung walaupun negara berada di dalam Darurat dan Parlimen digantung.

“Jadi, saya mendesak supaya sistem monopoli dalam kawalan penawaran vaksin ini tidak ditentukan dan dikuasai oleh kerajaan Persekutuan sahaja.

“Kuasa kerajaan-kerajaan negeri perlu dihormati,” tambah Hassan lagi.